Pemindahan paip air 4.2 km di Miri masuk fasa pelaksanaan – Nanta

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meneliti papan informasi yang memaparkan jajaran dan perkembangan Projek Redline sempena Majlis Pecah Tanah Projek Lebuhraya Trans Borneo dan Projek Redline Short Stretch Seksyen Tudan di Jalan Eastwood hari ini. Foto Bernama

MIRI, 29 Nov: Cadangan pemindahan jajaran paip air utama di kawasan Batu 7, Jalan Miri-Bintulu yang sering mengalami masalah paip pecah kini memasuki fasa pelaksanaan susulan selesainya kerja pengambilan tanah dan perobohan struktur di lokasi jajaran baharu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek pemindahan utiliti sepanjang 4.2 kilometer (km) di bawah Pakej Kerja 11 (WPC11) Lebuh Raya Pan Borneo itu disasarkan siap dalam tempoh tiga tahun atau lebih awal berikutan kepentingannya kepada pengguna.

Bagi memastikan bekalan air kepada penduduk Miri tidak terjejas sepanjang tempoh pembinaan, beliau berkata kontraktor akan membina jajaran paip baharu terlebih dahulu sebelum menamatkan operasi paip sedia ada.

“Jika kita tidak membina paip baharu dan memindahkan saluran berkenaan, sudah tentu bekalan air di Miri akan terjejas. Jadi, kita akan membina paip baharu terlebih dahulu dan apabila siap, pengujian serta pentauliahan akan dilaksanakan.

“Apabila bekalan air dapat disalurkan melalui paip baharu, barulah operasi paip sedia ada akan ditamatkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek LTB (Seksyen Miri) dan Projek Redline Short Stretch Miri di sini, hari ini.

Berhubung kedudukan jajaran baharu itu, Nanta berkata paip sedia ada terletak di sebelah kiri jalan menghala ke Miri, manakala jajaran baharu akan dialihkan ke sebelah kanan jalan.

“Kerja pengambilan tanah dan perobohan struktur di sepanjang jajaran itu telah dilaksanakan. Kontraktor akan memulakan kerja pembinaan paip baharu bagi mengelakkan kerja-kerja pembinaan atau peningkatan aras jalan menjejaskan keselamatan paip sedia ada,” katanya.

Pada Jun lepas, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata pelan jangka panjang pemindahan paip utama di Batu 7 sedang diperincikan bersama Kementerian Kerja Raya berikutan keadaan tanah lembut serta kerja penambakan di kawasan berkenaan. – Bernama