Nor-E dekati pengundi muda menerusi sukan, aktiviti sihat

Facebook
WhatsApp
Nor-E-Fadzwie Salleh dan Dato Mohd Chee Kadir merakamkan gambar kenangan bersama pasukan yang menyertai Pertandingan Futsal Tertutup N.40 Kabong. Foto Nor-E-Fadzwie Salleh

KABONG, 29 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, Nor-E-Fadzwie Salleh, memberi penekanan terhadap usaha mendekati golongan muda menerusi pendekatan lebih santai, inklusif dan bersesuaian dengan aspirasi generasi berkenaan.

Beliau berkata, golongan belia merupakan segmen pengundi penting yang perlu diberikan perhatian melalui strategi komunikasi lebih mantap serta penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Menurutnya, penganjuran aktiviti sihat seperti sukan, permainan dan program menarik mampu menjadi platform terbaik untuk mendekati anak muda, selain mengeratkan hubungan lebih erat antara masyarakat dan kepimpinan.

“Anak muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyuarakan pandangan, berkongsi idea serta terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat dan kawasan Kabong. Kita mahu suara dan aspirasi mereka terus diberikan perhatian,” katanya.

Nor-E menyampaikan amanat kepada golongan belia yang menyertai Pertandingan Futsal Tertutup N.40 Kabong. Foto Nor-E-Fadzwie Salleh

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa menghadiri Pertandingan Futsal Tertutup N.40 Kabong di Gelanggang Futsal Kabong, anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.40 Kabong, hari ini.

Nor-E berharap penyertaan dan sokongan golongan muda dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi kepimpinan yang berwibawa, progresif dan mampu meneruskan agenda pembangunan Sarawak pada masa hadapan.

Sementara itu, bekas ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir turut hadir bagi menyatakan sokongan kepada calon GPS berkenaan dalam usaha meneruskan kesinambungan kepimpinan dan pembangunan di kawasan itu.

Chee Kadir berkata, golongan belia merupakan aset penting yang perlu terus diberikan perhatian, khususnya dengan menyediakan ruang untuk mereka berkembang melalui pelbagai pelbagai aktiviti, termasuk sukan.

Beliau turut menegaskan kepentingan kesinambungan kepimpinan bagi memastikan segala usaha pembangunan, kebajikan dan kemajuan yang telah dilaksanakan dapat diteruskan oleh barisan kepimpinan seterusnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus mengekalkan semangat perpaduan serta menzahirkan sokongan masing-masing menerusi proses demokrasi dalam menentukan hala tuju kepimpinan Kabong.

Pertandingan berkenaan menyaksikan penyertaan  sebanyak 11 pasukan, sekali gus membuktikan sambutan dan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti sukan serta kemasyarakatan di kawasan DUN N.40 Kabong.

Oleh Adi Safarman