SAMARAHAN, 29 Nov: Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof ke Bilik Gerakan GPS N.17 Stakan bertujuan memberi sokongan moral serta menyuntik semangat kepada jentera parti supaya terus mempergiat gerak kerja sepanjang tempoh kempen PRN Sarawak ke-13.
Calon GPS bagi kerusi Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, kunjungan Fadillah bukan sahaja memberi dorongan kepada jentera di kawasan itu, malah turut disusuli nasihat dan panduan berdasarkan pengalaman beliau dalam menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, pertemuan itu memberi ruang kepada Fadillah yang juga ketuanya untuk menyampaikan pesanan secara langsung, khususnya berhubung persiapan dan gerak kerja kempen.
“Beliau datang sendiri untuk memberi semangat kepada jentera Stakan supaya lebih kuat bekerja pada pilihan raya kali ini.
“Selain itu, beliau juga mengenali saya dan sudah semestinya memberi sedikit nasihat serta tunjuk ajar berkenaan pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan berkenaan.
Kunjungan itu mencerminkan sokongan kepimpinan GPS terhadap jentera di peringkat kawasan, khususnya dalam memastikan penyelarasan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen berjalan lancar.

Sementara itu, Hamzah menyeru warga Stakan yang layak mengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada 12 Disember ini.
Beliau berkata, tumpuannya pada hari pertama kempen adalah menyantuni rakan-rakan serta penyokong di kawasan berkenaan, selain mengingatkan pengundi supaya hadir ke pusat mengundi masing-masing.
Mengulas sasaran majoriti kemenangan, beliau berkata tumpuannya adalah memastikan kemenangan di kerusi Stakan tanpa menetapkan sasaran jumlah majoriti tertentu.
Oleh Afiq Sallehi




