Notifikasi ujian Mysiren diterima hampir serentak – Fahmi

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Fahmi Fadzil (tengah) ketika sidang media selepas sesi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) di Markas SMART di Puchong, hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah (kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Notifikasi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) diterima hampir serentak di lokasi yang memberikan maklum balas, termasuk Padang Besar di Perlis serta Pulau Sebatik dan Tawau di Sabah, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata maklum balas mengenai penerimaan notifikasi itu diperoleh secara langsung menerusi sesi bersama-sama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Jabatan Penerangan semasa ujian serentak di seluruh negara pagi ini.

“Selepas saya menekan ‘confirm’ untuk menghantar keluar mesej ujian itu, hampir serentak seluruh negara mendapat maklumat amaran yang sama,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian MySiren di Markas SMART di Puchong, hari ini.

DATUK Seri Fahmi Fadzil (dua, kanan) menyampaikan pesanan kepada wakil-wakil negeri pada sesi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) di Markas SMART di Puchong, hari ini. Foto BERNAMA

Fahmi berkata notifikasi ujian hari ini disiarkan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris, dan sistem itu juga boleh menyalurkan amaran dalam bahasa lain sekiranya ada cadangan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menyalurkan amaran terus kepada telefon bimbit, yang serasi dalam kawasan liputan pemancar tanpa menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mengumpul maklumat pengguna. 

ORANG ramai hari ini mula menerima notifikasi kecemasan menerusi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula 10.10 hingga 10.30 pagi ini. Foto BERNAMA

Fahmi berkata MySiren beroperasi 24 jam, dan antara kegunaan segera sistem itu ketika Monsun Timur Laut ialah menyalurkan amaran kepada penduduk di kawasan berhampiran sungai apabila paras air melebihi tahap bahaya.

“Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya sambil menjelaskan bahawa deringan amaran yang kuat bertujuan menarik perhatian pengguna, termasuk pada waktu malam.

Beliau turut menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengemas kini perisian telefon bimbit masing-masing bagi membantu memastikan peranti boleh menerima notifikasi MySiren.

“Kita tidak perlu download (muat turun) aplikasi MySiren. Tak ada aplikasi pun,” katanya.

Fahmi berkata MySiren mula beroperasi pada 19 November, diikuti ujian bersama-sama ahli Parlimen pada 23 November sebelum ujian serentak di seluruh negara hari ini. – Bernama

MySiren ialah Sistem Amaran Awal (EWS) Malaysia yang dibangunkan untuk memberi amaran kepada orang ramai semasa kecemasan, supaya mereka dapat mengambil tindakan segera bagi melindungi nyawa dan harta benda. Foto BERNAMA

Siapa Calon Bebas?

1. Peter John Jaban, 62 tahun* DUN: N.11 Batu Lintang.* Latar belakang: Aktivis veteran Sarawak.* Sejarah parti: Tiada* Sebelum bertanding,