SIBURAN, 29 Nov: Sokongan di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Bidayuh penting bagi memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai kekuatan mencukupi untuk membentuk dasar dan strategi kerajaan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Beliau berkata, walaupun hanya melibatkan lapan kerusi, representasi masyarakat Bidayuh tetap penting dalam memastikan suara serta kepentingan komuniti itu dibawa ke peringkat DUN.
Menurutnya, kemenangan GPS di kawasan berkenaan akan membolehkan wakil rakyat Bidayuh bersama-sama memainkan peranan dalam membentuk dasar dan hala tuju pentadbiran negeri.
“Walaupun lapan kerusi sahaja, suara kita penting. Kita akan mempunyai pengaruh dalam Dewan Undangan Negeri kerana kita membawa suara kumpulan etnik Bidayuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bidayuh di Dewan Kampung Sinjok, di sini.
Fadillah berkata, GPS sudah memperoleh kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi, namun masih memerlukan sokongan di kawasan yang sedang menyaksikan persaingan bagi memastikan gabungan itu mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Sehubungan itu, beliau menyeru jentera parti supaya bekerja keras bagi memastikan semua lapan kerusi majoriti Bidayuh dimenangi GPS pada hari pengundian 12 Disember ini.
Menurutnya, kemenangan besar diperlukan bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai kedudukan yang kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak, khususnya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Oleh Adele Rissa




