1,161 kes kanak-kanak direkodkan JKM Sarawak dalam sembilan bulan

Facebook
WhatsApp
Dato’ Sri Nancy Shukri berucap pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 Peringkat Bahagian Kuching di Dataran Pantai Panjang, Kampung Pasir Panjang, di Santubong, hari ini.

SANTUBONG, 29 Nov: Sebanyak 1,161 kes berkaitan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, termasuk 611 kes kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kes kanak-kanak terlibat dengan jenayah pula mencatatkan 214 kes, manakala 196 kes melibatkan kanak-kanak hamil luar nikah.

“Secara keseluruhannya, kes pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 17 merupakan kategori kes yang paling banyak dikendalikan oleh JKM Sarawak dalam tempoh pelaporan ini.

“Kes jenayah kanak-kanak dan kehamilan luar nikah juga masih menunjukkan jumlah yang tinggi serta memerlukan perhatian dan tindakan yang berterusan,” katanya.

DATO’ Sri Nancy Shukri ketika menerima cenderamata pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 Peringkat Bahagian Kuching di Dataran Pantai Panjang, Kampung Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Menurut Nancy, statistik berkenaan turut merangkumi 34 kes kanak-kanak tidak terkawal, 25 kes kanak-kanak memerlukan perlindungan dengan segera, 26 permohonan anak pelihara, 50 permohonan anak angkat dan lima kes pemberitahuan pengambilan kanak-kanak.

Mengikut bahagian, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Kuching merekodkan jumlah tertinggi iaitu 342 kes, diikuti Miri sebanyak 180 kes, Bintulu (125 kes), Samarahan (108 kes) dan Kapit dengan 27 kes.

Beliau berkata, isu kebajikan kanak-kanak memerlukan perhatian bersama kerana setiap anak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, sihat, penyayang dan kondusif tanpa mengira latar belakang keluarga atau status sosioekonomi.

TETAMU kehormat menghadiri Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak Sarawak 2026 di Kampung Pasir Panjang.

“Kanak-kanak ialah amanah yang tidak ternilai. Merekalah pewaris kepimpinan, pembangunan dan kemakmuran negara pada masa hadapan. Pandangan, keperluan dan hak mereka wajar didengar dan dihormati,” katanya.

Nancy turut menegaskan bahawa pembangunan kanak-kanak tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu mengambil kira kesihatan fizikal, kesejahteraan emosi, perkembangan sosial, pembentukan sahsiah dan kemahiran hidup.

Beliau berkata, keluarga merupakan institusi pertama yang membentuk nilai, keperibadian dan kesejahteraan emosi kanak-kanak, manakala komuniti turut memainkan peranan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan mereka.

PERSEMBAHAN peserta pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak Sarawak 2026 di Dataran Long Beach, Kampung Pasir Panjang, hari ini.

“Kita perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Dengarlah cerita mereka, fahamilah perasaan mereka dan berikanlah bimbingan dengan penuh kesabaran,” katanya.

Karnival bertemakan “Hak Kami, Masa Depan Kami” itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak, kepentingan perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak serta tanggungjawab bersama dalam membentuk generasi masa hadapan.

Oleh Shikin Mahmud