SARIKEI, 29 Nov: Seramai 199 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Ming diberi pendedahan mengenai keselamatan kebakaran dan tatacara menyelamatkan diri ketika berdepan situasi kecemasan menerusi program kesedaran awam, baru-baru ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program tersebut membabitkan seramai 224 peserta, terdiri daripada 199 murid, 22 guru, dua anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan seorang pengawal keselamatan.
“Pendedahan mengenai keselamatan kebakaran perlu diberikan sejak usia muda supaya murid mengetahui tindakan yang sewajarnya diambil ketika berdepan situasi kecemasan.
“Sembilan anggota bomba terlibat dalam menjayakan program yang bermula dari 9.00 pagi hingga 11.00 pagi,” katanya
Katanya, antara pengisian program ialah ceramah keselamatan kebakaran dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api bagi meningkatkan pengetahuan peserta mengenai kaedah menangani kebakaran pada peringkat awal.
“Selain ceramah, demonstrasi penggunaan alat pemadam api dan latihan pengungsian bangunan memberikan peluang kepada warga sekolah untuk memahami aspek keselamatan kebakaran secara praktikal.

“Selain itu, pameran peralatan dalam jentera bomba turut diadakan bagi membolehkan peserta mengenali kelengkapan yang digunakan anggota bomba dalam operasi kebombaan dan penyelamatan,” katanya.
Tambahnya, peserta turut menjalani latihan pengungsian bangunan bagi memahami prosedur keluar dari bangunan secara selamat dan teratur ketika berlaku kecemasan.
“Kesiapsiagaan warga sekolah amat penting dalam mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kebakaran,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek




