Inovasi khemah solar pintar Saudi buka dimensi baharu keselamatan jemaah haji

Facebook
WhatsApp
Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Inovasi khemah solar pintar yang dibangunkan penyelidik Universiti Bisha, Arab Saudi, berpotensi membuka ruang kepada penambahbaikan aspek keselamatan, keselesaan dan kecekapan tenaga dalam penyediaan kemudahan jemaah haji, termasuk dari Malaysia.

Dikenali sebagai Khemah Solar Pintar (Smart Solar Tent), inovasi berkenaan meraih pingat emas dalam kategori tenaga dan kelestarian pada Pameran dan Pertandingan Keselamatan dan Inovasi Antarabangsa (SEIF), hasil penyelidikan dua pensyarah universiti itu, Dr Ezzah Al-Ghuthaim dan Dr Nadia Al-Zaydi, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pameran dan pertandingan SEIF berlangsung dari 24 hingga 26 November 2026 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh, Arab Saudi, sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Keselamatan dan Teknologi Global (GSTS).

Universiti Bisha dalam kenyataan yang dipetik SPA memaklumkan inovasi berkenaan menggabungkan penyelesaian kejuruteraan dan teknologi lestari dengan memanfaatkan tenaga solar bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, mengoptimumkan kos operasi serta mengurangkan risiko kebakaran di khemah jemaah haji di Arafah dan Mina.

Inovasi itu menawarkan pendekatan teknologi dalam pembangunan kemudahan penginapan jemaah yang lebih selamat dan selesa, sejajar dengan keperluan pengurusan haji yang melibatkan penempatan jemaah dalam jumlah besar.

Menurut universiti itu, Khemah Solar Pintar berkenaan merupakan penyelesaian teknologi yang telah didaftarkan dengan Sekretariat Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Inovasi itu turut mencerminkan komitmen Arab Saudi merealisasikan matlamat Visi Saudi 2030, khususnya dalam memperkukuh penyelidikan dan inovasi, memperluas penggunaan teknologi lestari serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah, selaras dengan usaha membangunkan ekosistem haji yang lebih cekap, selamat dan mampan. – Bernama