SEOUL, 28 Nov: Serangan penggodam ke atas Pejabat Pos Internet Korea Selatan telah mendedahkan maklumat peribadi sekurang-kurangnya 113,855 pelanggan dengan skala penuh pencerobohan itu masih dalam siasatan, menurut perkhidmatan pos berkenaan pada Sabtu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Korea Post, agensi di bawah Kementerian Sains dan ICT Korea Selatan, mengesahkan bahawa penggodam telah mengakses rekod pengeposan yang mengandungi maklumat peribadi pelanggan dan sedang berusaha mengenal pasti tahap sebenar kebocoran terbabit.
Penyerang terbabit mengakses perkhidmatan penukaran lokasi penghantaran di Pejabat Pos Internet mudah alih serta melihat nama, alamat dan nombor telefon penerima mel berdaftar yang dihantar antara 17 hingga 24 November.
Analisis data bagi satu hari sahaja mendapati maklumat milik 113,855 individu telah terdedah.
Korea Post memaklumkan pihaknya menyedari tanda-tanda pencerobohan itu pada Rabu dan telah memohon siasatan polis.
Agensi itu turut menggantung sementara beberapa perkhidmatan termasuk fungsi penukaran lokasi penghantaran selain menyekat akses ke laman sesawang mudah alihnya daripada alamat IP luar negara.
“Kami memohon maaf atas kebimbangan yang timbul dalam kalangan orang ramai dan pelanggan perkhidmatan pos. Kami akan menyiasat punca kejadian ini secara menyeluruh dan melakukan yang terbaik untuk mengelakkan kejadian berulang serta mengekalkan kepercayaan orang awam,” kata Ketua Korea Post Park In-hwan.
Insiden terbaharu ini berlaku di tengah-tengah siri kebocoran data di institusi kewangan dan agensi awam sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk kebocoran besar di syarikat utiliti milik negara, Korea Electric Power Corp., yang melibatkan maklumat peribadi kira-kira 1.52 juta individu. – Bernama




