Royston terima hadiah berganda hari ini

Facebook
WhatsApp
ROYSTON Valentine ketika ditemui media di Pusat Khidmat DUN N.57 Tellian, hari ini. Foto Adibfahmy

MUKAH, 28 Nov: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.57 Tellian, Royston Valentine mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13, hari ini.

Lebih bermakna, kemenangan itu berlangsung pada tarikh ulang tahun kelahirannya, sekali gus menjadikan 28 November sebagai detik istimewa yang akan dikenang sepanjang hayatnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hala tuju pembangunan kawasan Tellian bagi penggal seterusnya, Royston berkata, pemerkasaan bidang pendidikan akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan pelajar mampu memanfaatkan bantuan sedia ada.

“Pelbagai inisiatif pendidikan yang diperkenalkan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

“Justeru, persediaan anak-anak muda perlu dimulakan sejak peringkat prasekolah dan sekolah rendah, selain memberi perhatian khusus kepada pelajar sekolah menengah bagi memastikan mereka mempunyai kelayakan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, usaha itu penting bagi membolehkan lebih ramai pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memenuhi kelayakan untuk merebut peluang melanjutkan pengajian menerusi inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Khidmat DUN N.57 Tellian, hari ini.

Di samping itu, beliau turut memberi keutamaan dalam pembangunan sosioekonomi bagi memastikan masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam menikmati peluang serta manfaat pembangunan yang disediakan kerajaan.

“Pembangunan sosioekonomi turut menjadi agenda penting bagi memastikan masyarakat di kawasan Tellian tidak ketinggalan berbanding kawasan lain.

“Sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dengan memanfaatkan keunikan adat budaya, makanan dan pakaian tradisional masyarakat pelbagai kaum di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Tegasnya, kepelbagaian budaya masyarakat Melanau, Iban dan Tionghoa merupakan antara keistimewaan yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi berkenaan beberapa projek pembangunan berkaitan industri pelancongan yang telah dicadangkan dan diluluskan sepanjang penggal pertama perkhidmatannya, termasuk projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADA).

Antara projek berkenaan ialah Medan Selera Tapak Kaul Mukah dan Mukah Integrated Market yang dijangka memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi serta sektor pelancongan setempat.

Tambahnya, perancangan turut merangkumi pembangunan sebuah bangunan ikonik di kawasan Pasar Lama Mukah yang bukan sahaja bertujuan meningkatkan pembangunan kawasan itu, malah menjadi simbol identiti bandar berkenaan.

Justeru, kewujudan bangunan ikonik itu diharap dapat menjadi mercu tanda baharu Mukah yang mudah dikenali pengunjung, sekali gus menyokong usaha memperkukuh sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

Oleh Adibfahmy

Royston terima hadiah berganda hari ini

MUKAH, 28 Nov: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.57 Tellian, Royston Valentine mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan menang tanpa

PRN: 53 kerusi jadi rebutan

KUCHING, 28 Nov: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menyaksikan 53 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal dipertandingkan