Mohamad Duri mohon mandat rakyat, terus perjuang nasib rakyat di DUN Kalaka

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri diiringi seramai 1,550 ahli-ahli PBB Cawangan N.38 Kalaka dan parti komponen GPS menuju ke Pusat Penamaan Calon Dewan Pejabat Daerah Saratok.

SARATOK, 28 Nov: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Kalaka, Mohamad Duri memohon sokongan dan kepercayaan seluruh pengundi untuk terus memberikan mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan kepimpinan parti untuk sekali lagi mewakili GPS di kerusi berkenaan merupakan satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab.

MOHAMAD Duri akan ditentang oleh calon dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Muhammad Syafiq @Thomas Abdullah.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana berjaya melalui proses penamaan calon hari ini dan berpeluang meneruskan perjuangan membela nasib rakyat di kawasan Kalaka.

“Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, saya telah selesai melalui proses penamaan calon dan diberi kepercayaan untuk mewakili GPS bagi kerusi DUN N.38 Kalaka pada PRN13,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kepimpinan tertinggi parti, seluruh kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), jentera GPS serta masyarakat DUN Kalaka atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.

Mohamad Duri turut memberikan penghargaan khusus kepada seluruh jentera PBB dan GPS yang telah bekerja keras serta menunjukkan komitmen bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon.

Katanya, segala pengorbanan, tenaga dan usaha jentera parti amat dihargai dalam menghadapi perjalanan PRN13.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat serta memastikan pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

“Saya dengan rendah hati memohon sokongan dan kepercayaan seluruh pengundi di DUN N.38 Kalaka untuk terus memberikan mandat kepada GPS.

“Insya-Allah, sekiranya diberi kepercayaan, saya akan terus komited melaksanakan amanah, memperjuangkan kepentingan rakyat serta membawa pembangunan yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan penduduk di kawasan kampung dan rumah panjang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi di DUN N.38 Kalaka supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 12 Disember nanti.

Beliau turut mengajak pengundi memberikan sokongan kepada calon GPS dengan memilih nombor dua pada hari pengundian nanti.

“Marilah kita bersama-sama memberikan sokongan padu kepada calon GPS dengan memilih ‘Nombor 2’ pada hari pengundian nanti,” katanya.

Beliau berharap segala usaha dan perjuangan bersama demi masa depan Kalaka akan dipermudahkan serta mendapat keberkatan Allah SWT.

Dalam pada itu, Mohamad Duri telah diiringi seramai 1,550 ahli-ahli PBB Cawangan N.38 Kalaka dan parti komponen GPS telah berarak daripada Gelanggang Futsal LAKIS menuju ke Pusat Penamaan Calon Dewan Pejabat Daerah Saratok.

Borang pencalonan Mohamad Duri telah diterima pada 9.06 pagi dan beliau akan ditentang oleh calon dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Muhammad Syafiq @Thomas Abdullah dan borang pencalonan beliau telah diterima pada 9.12 pagi.

Keputusan calon yang bertanding telah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohammad Dino Amid selepas menerima pengesahan daripada pihak Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada PRN Sarawak 2021, Mohamad Duri memenangi kerusi DUN N.38 Kalaka dengan majoriti 2,868 undi.

Beliau memperoleh sebanyak 3,893 undi, manakala John Antau Linggang dari Parti Sarawak Bersatu (1,025 undi) dan Linang Chapum dari Parti Bumi Kenyalang (457 undi).

Oleh Adi Safarman