MIRI, 28 Nov: Kemenangan tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.72 Lambir disifatkan sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Penyandang kerusi berkenaan, Datuk Ripin Lamat berkata, kemenangan itu mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinan kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif bagi membantu rakyat serta memacu pembangunan negeri.
Menurutnya, keyakinan tersebut turut memperlihatkan sokongan masyarakat terhadap usaha kerajaan GPS membawa Sarawak ke arah pembangunan yang lebih maju dan cemerlang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN N.72 Lambir pada proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Dewan Muhibbah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ripin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti dari kawasan Lambir yang bersama-sama memberikan sokongan serta turun padang sepanjang proses berkenaan.
Beliau secara khusus menghargai komitmen jentera parti komponen GPS, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang memainkan peranan masing-masing.
Menurutnya, kerjasama dan semangat berpasukan antara semua komponen parti itu amat dihargai dalam memastikan kelancaran gerak kerja di peringkat akar umbi.
Oleh Adum Liu





