Sayap dua pesawat American Airlines berlanggar di lapangan terbang Washington

Facebook
WhatsApp
DUA pesawat American Airlines berlanggar pada bahagian hujung sayap ketika bergerak menuju ke landasan di sebuah lapangan terbang di Washington, Amerika Syarikat (AS), pada Jumaat. Foto AGENSI

WASHINGTON, 28 November: Sayap dua pesawat American Airlines berlanggar ketika pesawat itu bergerak menuju ke landasan di sebuah lapangan terbang di ibu negara Amerika Syarikat (AS), Washington, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

American Airlines memaklumkan bahawa hanya hujung sayap kedua-dua pesawat itu bersentuhan. Tiada kecederaan dilaporkan.

Kedua-dua pesawat itu kembali ke pintu pelepasan masing-masing dan dihentikan sementara daripada perkhidmatan untuk pemeriksaan. Penumpang akan ditempatkan dalam penerbangan lain yang dijadualkan berlepas pada hari yang sama.

Juruterbang sebuah daripada pesawat itu melaporkan bahawa pesawat berkenaan bergerak sedikit melepasi garisan berhenti sebelum bergesel dengan sebuah lagi pesawat, lapor beberapa media AS pada Jumaat yang memetik komunikasi radio.

Pesawat itu dijadualkan berlepas ke Dallas, manakala sebuah lagi pesawat sedang bersiap sedia untuk berlepas ke Chicago tidak lama selepas itu.

FAA memaklumkan bahawa pihaknya akan menyiasat insiden berkenaan.

“Hentakan itu sangat kuat,” kata seorang penumpang kepada CNN. “Seluruh pesawat bergoyang.”

Belum dapat dipastikan sama ada insiden itu menyebabkan gangguan lebih meluas terhadap operasi lapangan terbang berkenaan.

Jutaan penduduk melakukan perjalanan di seluruh AS sempena cuti hujung minggu Hari Kesyukuran. Keadaan cuaca buruk sebelum itu telah menyebabkan banyak penerbangan dibatalkan dan tertunda di beberapa kawasan. – Bernama-dpa