Rakyat Stakan tahu siapa berkhidmat, siapa muncul waktu pilihan raya – Hamzah

Facebook
WhatsApp
HAMZAH Brahim bersama calon PBK, Atet Dego di Pusat Penamaan Calon, SJKC Chung Hua Sungai Jernang, selepas proses penamaan calon bagi kerusi DUN N.17 Stakan. Foto Ukas

KOTA SAMARAHAN, 28 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan, Datuk Hamzah Brahim yakin pengundi mampu menilai rekod khidmat wakil rakyat berbanding pihak yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

Beliau bakal berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Atet Dego pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Hamzah menerima persaingan itu dengan hati terbuka dan yakin pengundi Stakan mengetahui pihak yang benar-benar berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka dan saya yakin percaya rakyat Stakan tahu siapa yang berkhidmat, siapa yang datang waktu pilihan raya sahaja,” katanya selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon, SJKC Chung Hua Sungai Jernang hari ini. 

Pertembungan kali ini mengulangi persaingan antara kedua-dua calon pada PRN Sarawak Ke-12 pada 2021, apabila Hamzah yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bawah GPS memenangi kerusi itu dengan 7,854 undi, manakala Atet memperoleh 415 undi atas tiket PBK.

Dalam pertandingan empat penjuru ketika itu, Hamzah turut menewaskan George Young Si Ricord Junior daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang meraih 2,047 undi dan Leslie Ting Xiang Zhi daripada DAP dengan 524 undi, sekali gus memperoleh majoriti 5,807 undi daripada 10,840 undi sah.

Pada PRN Sarawak Ke-13 kali ini, seramai 37,044 pengundi berdaftar di kawasan DUN N.17 Stakan

bakal menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka.

Mengulas pendekatan kempen kali ini, Hamzah berkata beliau akan memberi tumpuan kepada usaha bertemu dan mendekati masyarakat bagi menyampaikan perkembangan serta usaha yang telah dilaksanakan kerajaan GPS di kawasan Stakan.

Beliau turut menegaskan tanggungjawab kerajaan GPS terhadap penduduk kawasan itu tetap diteruskan tanpa mengira keputusan pilihan raya.

“GPS tetap menanggung amanah ataupun tanggungjawab kepada rakyat khususnya kawasan N.17 Stakan ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap semua calon dan penyokong dapat menjalankan kempen secara sihat, teratur serta mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hamzah juga menggalakkan pengundi supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing, sama ada pada pengundian awal atau hari pengundian pada 12 Disember ini.

Oleh Afiq Sallehi