KUCHING, 28 Nov: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menyaksikan dua generasi berbeza tampil merebut mandat rakyat, dengan calon termuda Irene Wong Lee Ting, 24 dan calon tertua John Antau Linggang, 78, dipisahkan jurang usia 54 tahun.
Kemunculan kedua-dua calon itu mewarnai persaingan PRN kali ini yang masih didominasi golongan berusia 60 tahun dan ke atas, merangkumi lebih separuh daripada keseluruhan 168 calon.
Wong, pembantu khas kepada Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew, dipertaruhkan DAP untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan dalam penampilan sulungnya sebagai calon pilihan raya negeri.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Sumber dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Michael Tiang Ming Tee dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Priscilla Lau.
Berbeza dengan Wong yang baharu melangkah ke gelanggang pilihan raya, John Antau yang mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mempunyai sejarah penglibatan dalam pilihan raya sejak lebih empat dekad lepas.
Beliau bakal berdepan saingan empat penjuru di DUN Krian menentang calon GPS daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Friday Belik serta dua calon Bebas, iaitu Empati Ningkan dan Edmund Uda Maleng.
Berdasarkan rekod pilihan raya, John Antau pernah bertanding di DUN Krian sebagai calon Bebas pada PRN Sarawak 1983, iaitu 19 tahun sebelum Wong dilahirkan.
Beliau turut bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Saratok (Bebas) pada Pilihan Raya Umum 1986 sebelum kembali bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) di DUN Kalaka pada PRN Sarawak 2021.
Selain Wong sebagai calon termuda, penyertaan generasi muda pada PRN kali ini masih kecil dengan hanya dua lagi calon berusia bawah 30 tahun, iaitu Damien Epoi Julia dari PBDS yang bertanding di DUN Miri dan Soo Tien Ren atau Jordan Soo dari DAP yang akan bertanding di DUN Batu Kitang.
Daripada 168 calon yang disahkan layak bertanding, 88 orang atau 52.4 peratus berusia 60 tahun dan ke atas, diikuti 47 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun, 18 calon (40 hingga 49 tahun), 12 calon (30 hingga 39 tahun) dan tiga calon (19 hingga 29 tahun).
Penyertaan calon lelaki turut mendominasi PRN kali ini dengan 154 orang berbanding hanya 14 calon wanita.
Pada PRN Sarawak ke-12 yang berlangsung pada Disember 2021, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh mencatatkan sejarah sebagai calon tertua apabila bertanding di kerusi DUN Bawang Assan pada usia 79 tahun.
Pada edisi yang sama, rekod calon termuda dikongsi bersama oleh dua calon wanita berusia 24 tahun, iaitu Cherishe Ng Phuay Hui daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi DUN Batu Lintang dan Olivia Lim Wen Sia (PBK) yang bertanding di DUN Nangka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian awal PRN Sarawak ke-13 pada 8 Disember, manakala hari pengundian pada 12 Disember depan.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. – Bernama





