MARUDI, 28 Nov: Dua calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Baram, Datuk Gerawat Gala dan Dato Dennis Ngau, berdepan persaingan berbeza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 apabila masing-masing menyaksikan pertandingan tiga dan empat penjuru.
Gerawat, 79, yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), akan mempertahankan kerusi DUN N.78 Mulu dengan berdepan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Damien Epoi Julie, 70, serta calon Bebas, Boyce Anyi.
Kedua-dua pencabarnya berbangsa Berawan, dengan Damien berasal dari Long Terawan, Tutoh Baram, manakala Boyce dari Bitoh Kala, Long Pahlo, Tutoh Baram.
Pada PRN Sarawak 2021, Gerawat memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,875 undi selepas memperoleh 3,198 undi dalam pertandingan yang turut membabitkan calon daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Sementara itu, penyandang DUN Telang Usan, Dennis, yang turut mewakili GPS, berdepan tiga pencabar dalam pertandingan empat penjuru.
Beliau dicabar calon PBDS, Mary Jangin, serta dua calon Bebas, Tommy Raymond dan George Laeng.
Senarai calon yang layak bertanding bagi kerusi berkenaan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kee Tee, Long Lama.
Dennis tiba di pusat penamaan calon pada 8.40 pagi untuk mengemukakan kertas pencalonannya bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Pada PRN Sarawak 2021, Dennis memenangi kerusi DUN Telang Usan dengan majoriti 2,422 undi. Kawasan itu mempunyai seramai 19,402 pengundi berdaftar.
Oleh Jiku Juguong



