BINTULU, 28 Nov: Calon Bebas, Abdul Jalil Bujang bakal berdepan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.67 Jepak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pertembungan itu menyaksikan Abdul Jalil kembali mencuba nasib di kawasan Jepak selepas pernah bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri 2011.
Beliau mempunyai pengalaman dalam arena politik apabila pernah menyertai beberapa pilihan raya sebelum ini, termasuk bertanding di kerusi Parlimen P.213 Mukah dan DUN N.58 Balingian.
Berasal dari Bintulu, Abdul Jalil turut mempunyai penglibatan dalam aktiviti sosial, ekonomi, pendidikan dan politik.
Sementara itu, Iskandar yang merupakan penyandang kerusi DUN Jepak akan berusaha mengekalkan mandat selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak pada November 2023 dengan majoriti 8,784 undi.
Dalam proses penamaan calon pagi tadi, Abdul Jalil dicadang oleh Sharifuddin Saiful Bahari dan disokong oleh Mohd Affandi Yusof.
Iskandar pula dicadang oleh Noriha Ali dan disokong Jantai Lani.
Kedua-dua calon kini bakal bersaing untuk mendapatkan kepercayaan pengundi Jepak dalam menentukan wakil kawasan itu bagi penggal akan datang.
Oleh Faizah Muzidi





