TATAU, 28 November: Pengalaman politik calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.60 Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai, bakal diuji oleh calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Dr John Brian Anthony, dalam pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Kedua-dua calon disahkan layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang berlangsung di Khemah Tertutup Perkarangan Pejabat Daerah Tatau.
John Sikie, 76, yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), mendapat nombor calon 1, manakala Dr John Brian, 71, memperoleh nombor dua selepas proses pengundian nombor calon.
John Sikie tiba di pusat penamaan calon pada 9.20 pagi dengan diiringi pencadang, Penghulu Ngubang Ajom, 69, dan penyokong, Pemanca Gerosen Jubin, 58.
Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) mempunyai rekod panjang dalam politik Kakus apabila memenangi tujuh pilihan raya sejak 1991.
Kemenangan dengan majoriti terbesar direkodkan pada PRN 2016 apabila beliau memperoleh majoriti 5,211 undi.

Sementara itu, Dr John Brian tiba lebih awal pada 8.16 pagi bersama pencadang, Anthony Bangau, 58, dan penyokong, Janggu Limbang, 27.
Beliau pernah bertanding dalam lima pilihan raya sebelum ini, termasuk di kerusi DUN Kemena, DUN Meluan dan Parlimen Bintulu, sebelum kembali menyertai persaingan kali ini di Kakus menerusi tiket PBDS.
Dalam pada itu, ratusan penyokong kedua-dua parti berkumpul di sekitar pusat penamaan calon bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Hujan yang semakin lebat tidak menghalang penyokong daripada terus menunggu dan mengikuti perkembangan proses penamaan calon.
Pertandingan kali ini mempertemukan penyandang yang memiliki rekod tujuh kemenangan di Kakus dengan pencabar yang turut mempunyai pengalaman bertanding dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
Oleh Carolyne Utih



