PRN: Bermulanya perebutan 82 kerusi hari ini

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 28 Nov: Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 secara rasmi dibuka pagi ini dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Proses penyerahan borang penamaan calon bermula 9.00 pagi hingga 10.00 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding.

Ini menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari menjelang hari pengundian pada 12 Disember nanti.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN dalam misi mempertahankan mandat besar yang dimenangi ketika PRN ke-12 pada Disember 2021.

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dengan mempertaruhkan gabungan penyandang serta 11 muka baharu.

Dijangkakan beberapa kerusi dimenangi tanpa bertanding setelah parti politik nasional mengumumkan tidak bertanding, manakala parti pembangkang yang meneruskan saingan kali ini kelihatan selektif dalam menentukan kerusi yang menjadi sasaran.
 
Keputusan itu menyusul selepas beberapa parti lain, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah, Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS serta Parti Wawasan Rakyat (Wawasan) mengesahkan tidak meletakkan calon pada PRN kali ini atas pertimbangan politik dan usaha memelihara kestabilan negeri.

DAP pula mengesahkan bakal bertanding di 14 kerusi DUN setakat semalam, sekali gus menjadikannya satu-satunya komponen Pakatan Harapan (PH) serta parti politik berpangkalan di Semenanjung Malaysia yang menyertai PRN Sarawak kali ini.

Selain GPS dan DAP, landskap saingan hari ini turut dijangka diwarnai penyertaan parti tempatan lain antaranya Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain kemungkinan kemunculan calon Bebas di beberapa kawasan.

Untuk rekod, GPS berjaya memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN ke-12 lalu, 18 Disember 2021.

Pada 2024, GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN di Sarawak setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang yang telah dibubarkan secara rasmi 6 April 2024 iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), manakala seorang ADUN lagi keluar (See Chee How – Batu Lintang) dan isytihar diri sebagai ADUN Bebas pada Ogos 2022.