Dua pemandu mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara berbahaya di Bau

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan

BAU, 27 Nov: Dua pesalah juvana dan seorang pemandu dewasa mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara berbahaya dalam kes berasingan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Litar Bau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kedua-dua pesalah juvana itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta berkenaan atas kesalahan memandu secara berbahaya.

Kedua-duanya mengaku bersalah dan kes mereka dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bau bagi penyediaan laporan sosial dan tingkah laku, yang dijadualkan pada 18 Disember ini.

Mereka masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 tanpa deposit, dengan seorang penjamin tempatan serta ibu masing-masing bertindak sebagai penjamin.

Dalam kes ketiga, seorang pemandu dewasa yang didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta sama kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan turut mengaku bersalah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM9,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Denda berkenaan telah dijelaskan sepenuhnya, manakala lesen memandu pesalah itu telah diendors selama dua tahun.

Mohd Haide berkata, sebanyak tiga kes telah dibicarakan dengan jumlah denda RM9,000, manakala dua kes melibatkan pesalah juvana dirujuk kepada JKM Bau untuk tindakan lanjut.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan lalu lintas.