BELADIN, 27 November: Jasa, kepercayaan dan bimbingan yang dicurahkan bekas pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Razaili Gapor, terus terpahat dalam ingatan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Beliau menyifatkan perjalanan bersama Dato Razaili sejak sekitar 2013 sebagai pengalaman bermakna yang banyak membentuk kematangan dirinya dalam bidang kepimpinan dan politik.
Menurut Mohamad Shafizan, peluang yang diberikan untuk memegang jawatan Ketua Pemuda PBB Cawangan Beting Maro ketika itu merupakan antara titik penting dalam perjalanan kepimpinannya, hasil restu serta kepercayaan Dato Razaili.
“Mengimbas kembali perjalanan bersama Dato Razaili Gapor sejak sekitar tahun 2013, pastinya mengundang pelbagai kenangan dan menyentuh sanubari saya.
“Pelantikan saya sebagai Ketua Pemuda Parti PBB Cawangan Beting Maro ketika itu juga adalah atas restu dan kepercayaan beliau,” katanya.
Mohamad Shafizan mengakui tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ketika masih muda dan mempunyai semangat yang tinggi sehingga ada kalanya tindakan dilakukan secara terburu-buru.
Bagaimanapun, setiap pengalaman dan kesilapan yang dilalui menjadi pengajaran berharga dalam membentuk kematangan, keupayaan memimpin serta rasa tanggungjawab.
Mohamad Shafizan turut mengenang bagaimana Dato Razaili terus memberikan kepercayaan kepadanya apabila membuka peluang untuk melangkah ke peringkat kepimpinan lebih tinggi sebagai Timbalan Ketua Cawangan Beting Maro.
Katanya, segala nasihat, tunjuk ajar dan peluang yang diberikan sepanjang perjalanan tersebut akan sentiasa dihargai serta dikenang.
“Segala nasihat, tunjuk ajar, kepercayaan dan peluang yang telah diberikan oleh beliau akan sentiasa saya hargai dan kenang sepanjang hayat.
“Dalam perjalanan kepimpinan, mungkin ada perbezaan pandangan dan pelbagai cabaran yang ditempuhi, namun jasa serta segala kebaikan yang pernah dicurahkan tetap mempunyai tempat yang tersendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Shafizan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato Razaili atas segala sumbangan, bimbingan serta kepercayaan yang diberikan sepanjang perjalanan mereka bersama.
Beliau menegaskan jasa dan tunjuk ajar Dato Razaili akan terus terpahat dalam ingatan, sekali gus menjadi sebahagian daripada pengalaman yang membentuk dirinya sebagai seorang pemimpin.
Oleh Adi Safarman




