PRN13: Menteri DAP bukan Sarawak tidak turun kempen

Facebook
WhatsApp
CHONG Chieng Jen and Anthony Loke.

KUCHING, 26 November: Pemimpin DAP bukan anak Sarawak yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri di peringkat Persekutuan tidak akan menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, keputusan itu dicapai menerusi kesepakatan bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke selepas kedua-duanya mengadakan pertemuan susulan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.

Menurutnya, ketetapan itu dibuat selaras dengan semangat Kerajaan MADANI selain menghormati rakan gabungan politik di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, DAP Sarawak akan mengendalikan sepenuhnya gerak kerja kempen di lapangan dengan menggunakan kepimpinan, keahlian serta pendekatan parti itu sendiri tanpa penglibatan pemimpin Persekutuan bukan Sarawak.

“DAP Sarawak akan menerajui kempen di lapangan bersama-sama barisan kepimpinan, ahli dan mesej kami sendiri. Rekod pencapaian serta komitmen kami terhadap rakyat Sarawak akan menjadi bukti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Chong menegaskan bahawa keputusan berkenaan tidak menjejaskan autonomi DAP Sarawak untuk menentukan hala tuju penyertaan parti itu dalam PRN kali ini.

Katanya, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP turut mengesahkan penghormatan sepenuhnya terhadap autonomi berkenaan, termasuk dalam menentukan jumlah kerusi yang ditandingi, pemilihan calon serta penandatanganan watikah menggunakan logo parti.

Beliau berkata, perkara berkaitan Sarawak akan terus diputuskan sepenuhnya oleh kepimpinan DAP Sarawak dan bukannya ditentukan oleh pihak luar.

Keputusan itu menyusul selepas PKR mengumumkan pada 25 November bahawa parti berkenaan tidak akan meletakkan calon pada PRN Sarawak ke-13, manakala DAP memilih untuk meneruskan penyertaan dalam pilihan raya berkenaan.

Dengan keputusan itu, DAP Sarawak akan menggerakkan jentera tempatan bagi menghadapi PRN yang menyaksikan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.

Untuk rekod, DAP mempunyai empat wakil sebagai menteri dalam Kabinet Persekutuan, iaitu Gobind Singh Deo (Menteri Digital), Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Steven Sim Chee Keong (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Hannah Yeoh (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Wilayah Persekutuan).

DAP turut mempunyai enam wakil bukan Sarawak yang memegang jawatan Timbalan Menteri dalam Kabinet Persekutuan, iaitu M. Kulasegaran (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Liew Chin Tong (Kewangan), Wong Kah Woh (Pendidikan), Chan Foong Hin (Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Teo Nie Ching (Komunikasi) serta Lim Hui Ying (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Bagaimanapun, berdasarkan ketetapan terbaharu itu, pemimpin DAP bukan Sarawak yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri tidak akan terlibat dalam kempen PRN Sarawak, manakala DAP Sarawak akan menggerakkan kempen menerusi kepimpinan dan jentera tempatan.