KUCHING, 26 November: Cr Eric Tay dan calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi kerusi Padungan, Nicholas Wung Duk Ying, terus menjalin hubungan baik meskipun Tay tidak dipilih sebagai calon parti itu bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.
Kedua-duanya dilihat bertemu pada Festival Jalanan Perhimpunan Tahun Baharu Cina Padungan 2027 petang tadi, sekali gus menunjukkan tiada perselisihan antara mereka susulan pemilihan calon parti.
Tay, yang turut disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi bagi kerusi Padungan, menyatakan sokongan terhadap festival yang akan berlangsung selama 10 hari, dari 22 hingga 31 Januari 2027, meneruskan kejayaan penganjuran sulungnya tahun lalu.
Beliau berkata, festival itu bukan sekadar sambutan Tahun Baharu Cina, malah bertujuan menghidupkan semula kawasan Padungan, mempromosikan warisan tempatan, menyokong perniagaan serta membuka lebih banyak peluang kepada peniaga dan pengusaha gerai.
“Sebagai individu yang dilahirkan dan dibesarkan di Padungan, saya gembira melihat inisiatif ini membawa semangat baharu kepada kawasan bersejarah kita,” katanya.
Tay turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Peniaga Padungan, jawatankuasa penganjur, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), penaja, peniaga serta rakan kerjasama atas komitmen dan sokongan berterusan mereka.
Beliau berkata, usaha bersama penting bagi menjadikan Padungan lebih meriah, memperkukuh komuniti perniagaan tempatan serta menyatukan masyarakat menerusi budaya dan sambutan perayaan.
Sementara itu, Wung berkata, sambutan Tahun Baharu Cina menerusi festival jalanan memainkan peranan penting dalam memelihara budaya tradisional Padungan, selain menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan bersejarah itu.
Katanya, festival berkenaan turut membuka peluang perniagaan kepada peniaga tempatan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.
“Pada masa hadapan, saya akan terus bekerjasama rapat dengan pemilik perniagaan tempatan, pertubuhan masyarakat dan penduduk bagi memacu pembangunan Padungan serta menjadikannya kawasan yang lebih meriah dan mesra dikunjungi,” katanya.




