SERIAN, 26 November: Seramai 201 warga Indonesia yang ditahan di Depot Imigresen Bekenu dipindahkan ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Tebedu dalam operasi selama dua hari bermula 24 November lalu.
Operasi yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sarawak itu berakhir semalam dan melibatkan 202 tahanan secara keseluruhan, termasuk seorang tahanan lelaki warga Indonesia yang dipindahkan ke Depot Imigresen Semuja atas faktor kesihatan.
Kesemua 201 tahanan berkenaan diserahkan kepada delegasi Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia yang diketuai Wakil Ketua Perwakilan merangkap Timbalan Duta Besar Republik Indonesia, Danang Waskito, di Kompleks CIQ Tebedu.
Operasi pemindahan melalui laluan darat dari Depot Imigresen Bekenu itu diketuai TPPK Sawaliah Said dengan penglibatan 15 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran proses pemindahan serta keselamatan sepanjang operasi berlangsung.
Menurut JIM Sarawak, keseluruhan proses pemindahan dan penyerahan tahanan berjaya dilaksanakan dengan teratur, selamat dan terkawal mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pelaksanaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan berkenaan dalam memastikan pengurusan tahanan dilaksanakan secara sistematik, selain memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.





