AC Milan terlepas peluang untuk menduduki tangga teratas Serie A Itali semalam selepas seri 1-1 dalam perlawanan derby Milan dengan Inter Milan yang membolehkan Napoli mengekalkan tempat mereka di puncak liga.
Skuad bimbingan Stefano Pioli yang belum tewas menyamai sama 32 mata dengan Napoli selepas gol sendiri Stefan de Vrij membatalkan sepakan penalti bekas pemain Milan, Hakan Calhanoglu pada minit ke-11 untuk Inter dalam pertemuan yang tegang dan menarik di San Siro.
Milan, yang peminatnya mempamerkan poster besar sebelum perlawanan sebagai penghormatan kepada petugas kesihatan dan mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19, akan merasa kesal melepaskan banyak peluang untuk menuntut tempat teratas liga selepas Napoli hanya mampu seri 1-1 dengan Verona dalam perlawanan terdahulu.
“Cawan itu separuh penuh kerana apabila anda mempersiapkan diri untuk perlawanan anda mahu memenanginya, lebih-lebih lagi dalam perlawanan derby,” kata Pioli kepada DAZN.
“Inter adalah pasukan yang bagus dan kami membuktikan bahawa kami juga kuat. Ia adalah persembahan yang positif.”
Kedua-dua pasukan tidak akan merasa gembira dengan berkongsi satu mata dalam perlawanan derby kerana kedua-duanya berpeluang memenangi perlawanan di hadapan 57,000 penyokong, dengan percubaan lewat Alexis Saelemaekers terkena tiang untuk Milan.
Sementara itu Lautaro Martinez gagal menyempurnakan sepakan penalti kedua Inter pada malam itu sejurus sebelum setengah jam perlawanan dan mensia-siakan peluang lain untuk meraih kemenangan buat pasukan Inter, yang sedang mencari kemenangan yang akan meningkatkan cabaran kejuaraan mereka.
Bagaimanapun, pasukan Simone Inzaghi kekal tujuh mata di belakang dua pasukan pendahulu liga di tempat ketiga.
“Bagi saya cawan itu separuh kosong… Melihat kepada peluang yang kami ada, kami berhak mendapat lebih lagi,” kata Inzaghi.
“Milan dan Napoli telah mengekalkan rentak yang luar biasa tetapi ada masa dan kami berada di atas sana. Kami mahu terus mara ke hadapan.” – AFP