WASHINGTON: SpaceX yang membawa empat angkasawan selamat kembali mendarat ke bumi selepas enam bulan kapsul itu berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kapal angkasa itu mendarat di luar pantai Florida, menurut siaran langsung Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), malam tadi.
Kapsul dengan jolokan Dragon itu mendarat di Teluk Mexico pada jam 10.33 malam menggunakan empat payung terbang besar.
Ia sekali gus menandakan berakhirnya misi Crew-2, disusuli sebuah bot mengambil kapsul itu dan angkasawan di atas kapal dibawa ke darat menggunakan helikopter.
Sejak 24 April lalu, dua angkasawan Amerika, seorang warga Perancis dan Jepun menjalankan beratus-ratus eksperimen selain membantu menarik taraf panel solar stesen berkenaan.
Menurut NASA, kapsul Crew Dragon yang digelar Endeavour berlepas dari ISS pada jam 2:05 petang.
Endeavour kemudiannya berputar sekitar ISS selama kira-kira sejam setengah bagi merakamkan gambar, menjadi misi pertama kapsul itu sejak kapal angkasa Soyuz Russia melakukan gerakan serupa pada tahun 2018.
Kapsul Dragon mempunyai tingkap bulat kecil di bahagian atas hadapannya membolehkan angkasawan menghalakan kamera bagi merakamkan permukaan planet.
Ia turut mampu merekodkan perubahan planet disebabkan aktiviti manusia dan kejadian semula jadi, serta kajian cacing untuk memahami perubahan kesihatan manusia di angkasa.
Kelewatan pendaratan Crew-2 disebabkan angin kencang tetapi disifatkan NASA sebagai ‘isu kecil’ namun melewatkan misi seterusnya, iaitu Crew-3 yang akan dilancarkan pada Rabu.
Misi itu akan disertai tiga angkasawan iaitu dua warga Russia dan seorang Amerika. SpaceX mula mengangkut angkasawan ke ISS pada tahun 2020, sekali gus menamatkan sembilan tahun pergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap roket Russia berikutan tamatnya program Space Shuttle. – AFP