Hamzah terbuka hadapi pencabar, mahu kempen PRN berlangsung secara sihat

Facebook
WhatsApp
DATUK Hamzah Brahim, calon kerusi DUN N.17 Stakan, menyatakan kesediaannya menerima mana-mana pencabar pada PRN Sarawak ke-13 dan berharap persaingan berlangsung secara sihat.

PETRA JAYA, 26 November: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan, Datuk Hamzah Brahim terbuka menerima kehadiran mana-mana pencabar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sambil berharap persaingan politik berlangsung secara sihat tanpa serangan peribadi.

Jelasnya, amalan demokrasi memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk menawarkan diri sebagai calon dan beliau menghormati hak setiap pihak untuk bertanding.

“Kalau ada yang mahu bertanding, saya terbuka. Itu amalan demokrasi. Saya berharap pertandingan nanti berlangsung secara sihat dan tidak melibatkan isu peribadi, sebaliknya lebih tertumpu kepada agenda pembangunan Stakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Watikah kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, rekod khidmat sepanjang lima tahun lalu menjadi asas untuk pengundi menilai prestasinya, namun beliau tidak menolak kemungkinan masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kalau pengundi merasakan saya sudah melakukan yang terbaik, Alhamdulillah. Kalau mereka berpendapat sebaliknya, saya akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada kerana saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada kekurangan,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan oleh kepimpinan parti untuk mewakili GPS di kerusi N.17 Stakan, sekali gus berpeluang meneruskan khidmat kepada penduduk kawasan itu.

Sepanjang tempoh lima tahun lalu, Hamzah berkata tumpuannya adalah terhadap keperluan asas penduduk, khususnya penyelesaian masalah banjir, sistem perparitan dan tekanan bekalan air yang rendah di beberapa kawasan kampung serta perumahan.

Beliau mengakui kesesakan lalu lintas turut menjadi antara isu utama ketika mula berkhidmat di Stakan, namun pembukaan beberapa laluan alternatif di kawasan Samarahan sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah berkenaan.

Hamzah berharap usaha menangani isu infrastruktur dan kemudahan asas itu dapat diteruskan secara berperingkat menerusi kerjasama dengan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi memberi peluang sekali lagi kepadanya untuk meneruskan agenda pembangunan yang dirancang kerajaan Sarawak, termasuk memastikan kawasan Stakan tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Beliau menyifatkan dirinya sebagai anak kampung yang mendapat peluang untuk berkhidmat bersama kepimpinan kerajaan negeri dalam membawa pembangunan kepada penduduk Stakan.

Pada PRN Sarawak ke-12 2021 lalu, Hamzah yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bawah GPS memenangi kerusi DUN N.17 Stakan dengan memperoleh 7,854 undi, sekali gus menewaskan tiga pencabar iaitu George Young Si Ricord Junior (PSB) yang meraih 2,047 undi, Leslie Ting Xiang Zhi (DAP) dengan 524 undi dan Atet Dego (PBK) yang memperoleh 415 undi.

Kemenangan itu menyaksikan Hamzah memperoleh majoriti 5,807 undi daripada keseluruhan 10,840 undi sah. 

Ketika itu, seramai 11,070 daripada 16,992 pemilih berdaftar keluar mengundi, bersamaan kadar keluar mengundi kira-kira 65.1 peratus.

Oleh Afiq Sallehi