PETRA JAYA, 26 November: Sesi libat urus bersama masyarakat amat penting bagi memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan mendapat kefahaman dan sokongan penduduk setempat.
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, pandangan masyarakat akar umbi perlu diambil kira sebelum sesuatu projek pembangunan dirancang dan dilaksanakan.
Menurutnya, sebarang kekangan dalam pelaksanaan projek pembangunan boleh ditangani menerusi perbincangan tanpa mengetepikan mana-mana pihak yang berkepentingan.
“Pembangunan adalah satu proses yang memerlukan masa.
Kita perlu berbincang dan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai apa yang ingin dilaksanakan demi kebaikan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan watikah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, hari ini.
Henry berkata, sejak penggal pertama sebagai wakil rakyat, beliau menghimpunkan individu berpengalaman, golongan usahawan dan penduduk tempatan bagi membentuk kumpulan pemikir untuk merangka hala tuju pembangunan Bau.
Katanya, hasil perbincangan bersama itu diterjemahkan dalam sebuah buku perancangan pembangunan yang menjadi panduan pelaksanaan pelbagai projek di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebahagian daripada projek yang dirancang telah dilaksanakan, manakala selebihnya sedang berjalan atau masih dalam proses pelaksanaan.
Beliau menjelaskan bahawa peranannya sebagai wakil rakyat adalah untuk merealisasikan perancangan yang dipersetujui bersama masyarakat, bukan mengetengahkan idea peribadi semata-mata.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Henry berkata, beliau memilih untuk mengetengahkan rekod pembangunan sepanjang dua penggal perkhidmatannya berbanding membuat janji baharu sebelum memperoleh mandat rakyat.
Beliau turut menyifatkan kritikan dan serangan peribadi di media sosial sebagai sebahagian daripada lumrah politik ketika musim pilihan raya.
Untuk rekod, Henry mula menjadi ADUN Tasik Biru pada 2016 dan telah berkhidmat selama dua penggal sebelum sekali lagi dipilih sebagai calon GPS bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN ke-13.
Oleh Norman B



