KUCHING, 26 November: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Alan Ling Sie Kiong dijangka kembali menyertai gelanggang pilihan raya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang susulan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, Ling yang merupakan seorang peguam dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, perkembangan di luar jangkaan itu telah mengubah perancangan awal parti berhubung pembahagian kerusi.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kawasan yang mungkin ditandinginya, walaupun Senadin dipercayai antara kerusi yang berkemungkinan menjadi pilihannya.
Ling, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha DAP Sarawak dan Pakatan Harapan (PH) Sarawak, bukanlah asing dalam arena politik pilihan raya di Miri.
Beliau mula mencipta perhatian pada PRN Sarawak 2011 apabila pada usia 28 tahun berjaya menewaskan Timbalan Ketua Menteri Sarawak ketika itu merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, di kerusi Piasau dengan majoriti 1,590 undi.
Kemenangan itu menyaksikan beliau mendapat jolokan sebagai pembunuh gergasi politik.
Beliau berkhidmat sebagai ADUN Piasau dari 2011 hingga 2016 sebelum tewas pada pilihan raya 2016. Beliau kemudiannya bertanding di kerusi Pujut pada PRN 2021 tetapi tidak berjaya.
Ling turut pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) dan berkhidmat dari 27 Ogos 2018 hingga 26 Ogos 2021.
Kemungkinan beliau kembali ke gelanggang pilihan raya timbul selepas PKR mengumumkan keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRN akan datang, sekali gus membuka ruang untuk DAP menilai semula kerusi Piasau dan Senadin yang sebelum ini diperuntukkan kepada rakan gabungannya itu.
Sebelum ini, Ling menyifatkan keputusan PKR menarik diri sebagai sesuatu yang mengecewakan dan berkata DAP Sarawak akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan langkah seterusnya.
DAP masih belum mengesahkan secara rasmi pencalonan Ling bagi kerusi Piasau atau Senadin.
Oleh Connie Chieng





