Pernah berjuang lawan kanser, kini Awie bawa harapan kepada pejuang kecil

Facebook
WhatsApp
PENYANYI Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman menyantuni kanak-kanak yang menghidap kanser pada majlis sempena pelantikannya sebagai Duta Kanak-Kanak Kanser Persatuan Sahabat Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) di George Town semalam. Foto BERNAMA

DI sebalik kelantangan suaranya di pentas hiburan dan populariti yang diraih sepanjang bergelar anak seni, tersimpan kisah perjuangan penyanyi Datuk Awie melawan kanser buah pinggang yang dihidapinya beberapa tahun lepas.

Pengalaman itu memberi makna tersendiri kepada pelantikannya sebagai Duta Kanak-kanak Kanser Persatuan Sahabat Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), sekali gus membuka ruang untuk beliau berkongsi pengalaman dan menyuntik semangat kepada anak-anak kecil yang sedang melalui perjuangan serupa.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, mendedahkan beliau pernah menghidap kanser buah pinggang tahap satu dan menjalani pembedahan pada 2021 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa COVID-19 melanda negara.

“Saya juga pernah menghidapi kanser. Saya cancer survivor tahap satu, tetapi Alhamdulillah, Tuhan memberi saya jalan, kudrat dan kekuatan untuk melawannya sehingga akhirnya dapat dibuang.

“Jadi apabila dipanggil sebegini, saya dengan rasa rela hati dan rendah diri untuk bersama-sama berkongsi pengalaman yang ada daripada diri saya untuk mereka,” katanya ketika berucap pada majlis pelantikannya sebagai duta persatuan itu di sini hari ini.

PENYANYI Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman menyampaikan sumbangan RM5,000 daripada Wings Motor Gang Society (WMGS ASEAN) kepada Pengerusi Persatuan Sahabat Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) Maznah Tayib sempena pelantikannya sebagai Duta Kanak-Kanak Kanser FOCCAN pada satu majlis di George Town semalam. Penyerahan itu disaksikan isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang merangkap Penaung FOCCAN Toh Puan Raja Norashikin Raja Abdullah. Foto BERNAMA

Majlis turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Raja Norashikin Raja Abdullah, yang juga penaung FOCCAN.

Awie berkata beliau menerima pelantikan itu secara sukarela tanpa sebarang bayaran atau imbuhan kerana baginya, ia bukan sekadar penghormatan, gelaran atau glamor, sebaliknya satu amanah dan tanggungjawab kemanusiaan yang cukup besar.

Beliau berkata pada usia ketika kanak-kanak sepatutnya bermain, belajar dan menikmati zaman kanak-kanak, anak-anak berkenaan terpaksa mengharungi kesakitan serta menjalani rawatan, manakala ibu bapa dan keluarga mereka turut berjuang dalam diam.

Justeru, Awie percaya selain rawatan perubatan, mereka juga memerlukan kasih sayang, perhatian, sokongan moral dan harapan daripada masyarakat sekeliling.

“Jika kehadiran dan suara saya mampu membuatkan seorang anak itu tersenyum, memberi semangat kepada seorang ibu atau bapa, ataupun menggerakkan seorang untuk menghulurkan bantuan, bagi saya itu sudah cukup bermakna dan memadai,” katanya.

PENGERUSI Persatuan Sahabat Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) Maznah Tayib (kanan) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Duta Kanak-kanak Kanser Persatuan Sahabat Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) kepada penyanyi Datuk Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman pada majlis yang diadakan di George Town. Foto BERNAMA

Penyanyi itu turut berhasrat memanfaatkan pengaruh, platform dan jaringan yang dimilikinya untuk menggerakkan lebih ramai individu, pihak korporat serta organisasi agar tampil membantu FOCCAN dalam memperjuangkan kebajikan golongan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi FOCCAN Maznah Tayib berkata perkenalan persatuan itu dengan Awie bermula pada 2017, namun kebanyakan kanak-kanak yang dirakamkan dalam video pertemuan mereka ketika itu telah meninggal dunia.

Beliau berkata FOCCAN kini mempunyai 1,200 ahli berdaftar dan berharap kesediaan Awie menggunakan populariti, masa dan pengaruhnya dalam menjayakan misi kemanusiaan itu dapat mendorong lebih ramai pihak menghulurkan bantuan kepada anak-anak pejuang kanser dan keluarga mereka.

“Ada anak-anak yang terpaksa menangguhkan zaman kanak-kanak mereka demi menjalani rawatan. Ada ibu bapa yang terpaksa mengorbankan pekerjaan, masa dan kehidupan mereka demi memastikan anak-anak terus mendapatkan rawatan dan peluang untuk sembuh,” katanya.

Pada majlis itu, Awie turut menandatangani memorandum persefahaman  bagi pelantikannya sebagai duta serta menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada FOCCAN bagi pihak Wings Motor Gang Society (WMGS ASEAN).- Bernama