LIMBANG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak sentiasa memastikan para pekebun, penternak dan seumpamanya terus diberi bantuan.
Sehubungan itu Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail telah menyempurnakan Simbolik Penyerahan Bantuan Baja Pekebun Kecil Lada dan Kelapa Sawit bertempat di Dewan Kampung Bunga Raya semalam.
Seramai 21 pekebun kecil kelapa sawit dan 39 pekebun lada di DUN Bukit Kota menerima manfaat dari bantuan ini.
Bantuan ini adalah untuk meringankan beban pekebun kecil yang mana pada tahun 2020 harga komoditi kelapa sawit dan lada jatuh merudum.
Atas dasar keprihatinan kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan khas dalam Bajet Sarawak 2021 berjumlah RM60 juta khusus untuk membantu meringankan beban pekebun kecil sawit dan lada yang terjejas.
Turut hadir, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Pegawai Pertanian Pembangunan dan Pengembangan Bahagian Limbang Amirul Fikri Jemali, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Limbang Michael Misau Ak Beng.
Oleh ADENG EDRUS