Wanita di Serian rugi RM3,500 akibat penipuan jual beli kereta di Facebook

Facebook
WhatsApp
SEORANG suri rumah di Serian mengalami kerugian sebanyak RM3,500 apabila terpedaya dengan iklan penjualan kereta di aman Facebook. Foto olahan AI

SERIAN, 25 November: Seorang suri rumah berusia 34 tahun kerugian RM3,500 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kereta yang diiklankan menerusi Facebook Marketplace.

Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, mangsa menemui iklan penjualan sebuah kereta jenis Naza Citra pada harga RM3,500 di platform media sosial berkenaan.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghubungi seorang individu menggunakan nama Valentina Lucero menerusi aplikasi WhatsApp sebelum diarahkan bertemu seorang lelaki yang tidak dikenali berhampiran surau Hospital Serian untuk melihat dan memandu uji kenderaan itu.

Selepas pertemuan tersebut, mangsa diberikan salinan dokumen insurans dan sijil pemilikan kenderaan sebelum diarahkan membuat pembayaran ke akaun bank yang diberikan.

Mangsa kemudian membuat dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM3,500 ke akaun CIMB. Bagaimanapun, selepas menerima bayaran, lelaki yang ditemuinya menghilangkan diri sebelum mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM500.

Mengesyaki dirinya ditipu, mangsa enggan membuat bayaran tambahan, sebaliknya menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis.

Freddy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli kenderaan menerusi platform media sosial, khususnya apabila berdepan iklan yang menawarkan harga jauh lebih rendah daripada kebiasaan.

Pembeli dinasihatkan supaya mengesahkan identiti penjual dan memastikan individu berkenaan merupakan pemilik sebenar kenderaan sebelum membuat sebarang pembayaran.

Mereka juga perlu memeriksa kenderaan secara fizikal, mengesahkan dokumen pemilikan dengan pihak berkuasa berkaitan serta mengelakkan pemindahan wang deposit atau bayaran ke akaun bank pihak ketiga yang tidak dapat disahkan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat bayaran tambahan sekiranya berdepan permintaan mencurigakan atau tekanan daripada penjual.

Mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan dalam talian perlu segera menghubungi NSRC menerusi talian 997 dan membuat laporan polis.

Freddy menegaskan kepentingan mengesahkan semua maklumat sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.