Pokok Krismas 12 meter, pertunjukan salji jadi tarikan sambutan Krismas Sibu

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA....(duduk, dari kiri) Izkandar, Ting, Tiu, Henry bersama ahli jawatankuasa penganjur merakam kenangan selepas sidang media selepas Mesyuarat Penuh Bulanan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) hari ini.

SIBU, 25 November: Pokok Krismas setinggi 12 meter, 14 pokok Krismas bertema serta pertunjukan salji buatan setiap malam menjadi antara tarikan utama Sambutan Krismas Sibu 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 26 Disember ini di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini.

Pengerusi penganjur Kaunselor Amelia Tiu berkata, sambutan tahun ini mengangkat tema ‘Emmanuel – God With Us’ yang membawa mesej keimanan, kasih sayang, kegembiraan dan kebersamaan.

Menurutnya, antara tarikan istimewa ialah ‘Emmanuel Trail’ yang menampilkan 14 pokok Krismas hasil kreativiti gereja berlainan, dengan setiap pokok menggambarkan babak perjalanan kehidupan Yesus Kristus.

“Kesemua 14 tema ini mengisahkan perjalanan daripada ramalan dan pengharapan hingga penebusan serta kehadiran Tuhan,” ujarnya.

Tema berkenaan merangkumi The Prophecy, The Waiting, The Messenger, The Star, The Manger, The Shepherds, The Wise Men, The Word, The Light, The Grace, The Peace, The Cross, The Joy dan Emmanuel.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Bulanan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di sini, hari ini.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati pertunjukan salji buatan di sekitar pokok Krismas utama setinggi 12 meter yang bertemakan ‘Emmanuel’ pada 8.00 dan 9.00 malam setiap hari.

Tarikan lain termasuk replika suasana kelahiran Yesus Kristus, gerbang lampu LED serta beberapa lokasi bergambar bertemakan Krismas.

Menurut Tiu, kemeriahan sambutan turut diperluaskan ke kawasan sekitar bandar menerusi pemasangan 35 set hiasan lampu LED di Jalan Pulau dan empat set lampu hiasan merentangi jalan di belakang Bangunan WTK.

Majlis penyalaan lampu Krismas secara rasmi akan berlangsung pada 4 Disember, 7.00 malam, dimulakan dengan doa serta penyalaan lampu bagi 14 pokok Krismas bertema.

Kemuncak acara ialah penyalaan lampu pokok Krismas setinggi 12 meter yang akan disempurnakan oleh Pengerusi MPS Clarence Ting.

Selepas itu, BB Band akan mengetuai acara berjalan mengelilingi kawasan sambutan sebelum diakhiri dengan bacaan doa.

Pelbagai persembahan Krismas oleh gereja akan diadakan dari 13 hingga 25 Disember, manakala Perarakan Krismas tahunan pada 19 Disember bakal menghimpunkan gereja daripada pelbagai denominasi bagi meraikan perpaduan, persaudaraan dan kedamaian.

Sambutan turut dimeriahkan dengan gerai makanan dan jualan menerusi Christmas Culture Corridor di Dataran Bandar Sibu Fasa 1 serta Christmas Market di Fasa 2 yang menawarkan pelbagai juadah tempatan, produk perayaan dan hadiah Krismas.

Pelbagai permainan interaktif dan aktiviti untuk pengunjung daripada semua peringkat umur turut disediakan sepanjang sambutan berlangsung.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Setiausaha Perbandaran Henry Jalin dan Kaunselor Roland Ting.

Oleh Akun Giman