Enam lelaki warga tempatan ditahan positif dadah di Mukah

Facebook
WhatsApp
ENAM lelaki tempatan ditahan di sebuah rumah pekerja dalam serbuan menerusi Ops Tapis Khas di Kampung Petanak Ulu, hari ini. Foto IPD Mukah.

MUKAH, 25 November: Polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 42 tahun selepas kesemua mereka didapati positif dadah jenis Amfetamina dan syabu dalam satu serbuan di Kampung Petanak Ulu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhammad Rizal Alias berkata, tangkapan tersebut dibuat menerusi Ops Tapis Khas kira-kira 3.30 petang di sebuah rumah pekerja di kawasan pinggir hutan kampung berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. 

“Manakala kesemua suspek mengaku mula terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak Ogos lalu,” katanya dalam sebuah kenyataan media, hari ini. 

Sehubungan itu, kesemua suspek yang bekerja sebagai peniaga itu kemudian dibawa ke pejabat Pifos bagi proses pengambilan cap jari sebelum ditempatkan di lokap Balai Polis Mukah. 

Tambah beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat serta mengesan punca bekalan dadah diperoleh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah secara salah.

Oleh Adibfahmy