SIMANGGANG, 25 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menyifatkan kepercayaan diberikan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk sekali lagi mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) sebagai satu amanah besar yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, barisan kepimpinan GPS, ahli akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.28 Lingga serta seluruh rakyat kawasan berkenaan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.
Menurutnya, peluang untuk kembali menjadi calon GPS bagi mempertahankan kerusi DUN Lingga bukan sekadar satu penghormatan, malah menjadi dorongan untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, barisan kepimpinan GPS, seluruh ahli akar umbi PBB Cawangan N.28 Lingga.
“Serta juga rakyat DUN Lingga yang amat saya kasihi atas kepercayaan dan peluang untuk saya sekali lagi bertanding sebagai calon kerusi DUN N.28 Lingga pada PRN Sarawak ke-13,” katanya.
Dayang Noorazah berkata, setiap doa, sokongan dan kasih sayang rakyat menjadi kekuatan untuk terus menggalas amanah serta tanggungjawab yang diberikan.
Katanya, perjuangan politik yang dibawanya bukan semata-mata untuk memegang jawatan, sebaliknya berteraskan amanah, pengabdian dan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
“Bagi saya, perjuangan ini bukan sekadar tentang sebuah jawatan, tetapi tentang amanah, pengabdian dan kasih sayang kepada rakyat.
“DUN Lingga sentiasa di hati saya. Amanah akan terus dijunjung, khidmat akan terus diberikan dan tanggungjawab akan terus digalas dengan seikhlas hati,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, Dayang Noorazah mencatat kemenangan dengan memperoleh 3,700 undi dan majoriti 2,273 undi selepas menewaskan lima pencabar.
Beliau mengatasi Datuk Wan Abdillah Edruce daripada PSB yang memperoleh 1,427 undi, Mohd Sepian Abang Daud (Bebas) dengan 880 undi, Baha Imam (PBK) sebanyak 139 undi, Abang Abdul Kassim Abang Bujang (PKR) dengan 130 undi dan Abang Ahmad Abang Suni yang memperoleh 92 undi.
Keputusan tersebut menyaksikan Dayang Noorazah berjaya mempertahankan mandat rakyat Lingga dengan majoriti yang selesa.
Menjelang PRN13, kepercayaan sekali lagi diberikan kepadanya untuk meneruskan perjuangan GPS di kawasan itu, sekali gus membuka ruang kepada beliau untuk mendapatkan mandat baharu daripada pengundi.
Dayang Noorazah berharap agar setiap langkah perjuangan yang dilalui mendapat keberkatan Allah SWT demi kesejahteraan rakyat dan masa depan DUN Lingga.
“Semoga Allah SWT memberkati setiap langkah perjuangan kita,” katanya.
Oleh Adi Safarman




