Zailanni Amit galas amanah sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak

Facebook
WhatsApp
PESURUHJAYA Polis Sarawak Saifullizan Ishak (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Zailanni Amit (kanan), disaksikan Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Mohamad Zainal Abdullah (tengah) di Kuching.

KUCHING, 25 November: Zailanni Amit menerima tugas sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak daripada Saifullizan Ishak, yang kini berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak, pada majlis serah terima tugas di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Pengurusan PDRM, Komisioner Polis Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata majlis itu mencerminkan kesinambungan kepimpinan Kontinjen Sarawak apabila Saifullizan meneruskan khidmat dalam jawatan baharunya, manakala Zailanni diberi amanah menggalas tugas sebagai timbalan pesuruhjaya.

Berucap pada majlis itu, Mohamad Zainal berkata Sarawak mempunyai makna tersendiri baginya kerana beliau pernah berkhidmat di negeri itu.

Katanya, peralihan tanggungjawab perlu dijadikan peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam organisasi dengan memelihara hubungan profesional dan semangat setia kawan yang terjalin selama ini.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh pentadbiran polis di peringkat daerah dan menambah baik pengurusan sumber manusia bagi memastikan PDRM terus berkesan dalam menghadapi cabaran mendatang.

Mohamad Zainal berkata PDRM mencadangkan supaya 16 jawatan Ketua Polis Daerah (KPD) dinaik taraf daripada pangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) kepada Superintendan Polis (Supt), sejajar dengan peningkatan tanggungjawab dan cabaran keselamatan di peringkat daerah.

Setakat ini, kenaikan taraf jawatan KPD di empat daerah, iaitu Mukah, Lubok Antu, Betong dan Lawas, telah diluluskan.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memperkukuh kewibawaan kepimpinan, meningkatkan keupayaan pentadbiran serta memastikan setiap ibu pejabat polis daerah (IPD) mempunyai kapasiti yang sesuai untuk menangani keperluan keselamatan setempat.

Dalam aspek pengurusan sumber manusia, beliau berkata PDRM memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur organisasi dan perjawatan, pembangunan kerjaya, peningkatan kompetensi, pengurusan bakat serta kebajikan warga pasukan.

Katanya, kekuatan pasukan bergantung pada bilangan anggota, aset dan keupayaan membangunkan warga PDRM yang cekap, berintegriti serta komited terhadap tugas.

Beliau berharap Kontinjen Sarawak terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengurusan untuk melaksanakan penambahbaikan itu bagi memastikan pasukan bersedia menghadapi cabaran mendatang.

Mohamad Zainal turut mengucapkan tahniah kepada Saifullizan yang meneruskan khidmat sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dan kepada Zailanni atas pelantikannya sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Oleh Connie Chieng