Abang Johari rasmi Jambatan Batang Lupar 2 esok

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak akan merasmikan Jambatan Batang Lupar 2 pada 2.00 petang esok. Foto: JKR Sarawak

SIMANGGANG, 25 November: Jambatan Batang Lupar 2 bakal mencipta satu lagi detik bersejarah buat Sarawak apabila mercu tanda infrastruktur itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, petang esok.

Majlis perasmian dijadual berlangsung sekitar 2.00 petang, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan negeri ini

Lebih membanggakan, Jambatan Batang Lupar 2 yang mempunyai menara setinggi 145.5 meter diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai jambatan kabel tertinggi di Malaysia.

Jambatan sepanjang 870 meter itu menggunakan reka bentuk kabel (cable-stayed) yang bukan sahaja menyerlahkan keunikan seni bina moden, malah menjadi simbol kemajuan kejuruteraan dan pembangunan Sarawak.

Pembinaannya juga membawa manfaat besar kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya, khususnya apabila menjadi sebahagian daripada laluan Jalan Utama Kedua (STR).

Kemudahan tersebut membolehkan perjalanan antara Sri Aman dan Betong dipendekkan kepada kira-kira 25 minit, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua kawasan.

Selain menjimatkan masa perjalanan, jambatan berkenaan dijangka merancakkan aktiviti ekonomi, memudahkan pergerakan penduduk serta membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan sekitarnya.

Kehadiran Jambatan Batang Lupar 2 turut memperkukuh komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan rangkaian infrastruktur moden, khususnya bagi meningkatkan aksesibiliti kawasan luar bandar.

Lebih daripada sekadar penghubung dua kawasan, jambatan itu kini menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan Sarawak yang mencerminkan aspirasi negeri untuk terus maju dan membangun.

Oleh Adi Safarman