SIBU, 25 November: Lima jawatankuasa perkhidmatan dari Paradom, Sungai Bidut, Engkilo, Sungai Sadit dan Sungai Empawah mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) secara kolektif, susulan tindakan Dato Sri Wong Soon Koh meninggalkan parti itu.
Dalam kenyataan bersama, kelima-lima jawatankuasa berkenaan memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan Wong.
Menurut kenyataan itu, mereka telah bersama Wong selama beberapa dekad, sejak beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat, menubuhkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) sehingga menyertai PDP.
“Ketika kami mengambil keputusan mengikuti Dato Sri Wong Soon Koh menyertai PDP, kami percaya kepada hala tuju politik beliau dan berharap penyatuan kekuatan dapat memperkukuh Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Bagaimanapun, pengalaman sepanjang tempoh itu secara beransur-ansur menimbulkan kekecewaan terhadap hala tuju politik dalaman PDP, semangat kerja berpasukan serta layanan terhadap akar umbi,” kata kenyataan itu.
Mereka turut mendakwa telah beberapa kali mengemukakan borang permohonan keahlian PDP, namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas yang jelas.
Keadaan itu, menurut mereka, menyebabkan akar umbi berasa tidak dihargai, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesediaan parti menerima mereka.
Selain itu, kelima-lima jawatankuasa berkenaan turut menyuarakan rasa kurang senang terhadap tindakan Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing yang menurut mereka beberapa kali berkunjung ke Sabah, Johor dan Negeri Sembilan untuk berkempen bagi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Mereka berpandangan kepentingan politik Sarawak perlu diutamakan, selain persefahaman politik serta kesepakatan dalam GPS harus dihormati.
“Kerjasama politik mungkin berubah mengikut keadaan, namun pemimpin politik harus sentiasa mengutamakan semangat kerja berpasukan, sikap saling menghormati dan tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam pada itu, mereka menegaskan keputusan meninggalkan PDP bukan didorong kepentingan peribadi atau keinginan mengejar jawatan politik, sebaliknya berlandaskan penghormatan terhadap kepimpinan, prinsip dan dedikasi Wong dalam berkhidmat kepada rakyat.
“Kesetiaan kami adalah kepada Dato Sri Wong Soon Koh, bukan semata-mata kepada nama atau panji mana-mana parti politik.
“Jika dahulu kami mengikuti beliau menyertai PDP, kini apabila beliau memutuskan untuk keluar, kami juga memilih untuk terus bersama beliau,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, mereka menegaskan keputusan tersebut tidak bermakna mereka mengabaikan tanggungjawab untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
Sebaliknya, mereka akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan kawasan masing-masing, menjaga kebajikan penduduk, membantu menyelesaikan isu akar umbi serta mengekalkan hubungan erat dengan Wong.
“Walau apa pun perkembangan politik pada masa hadapan, sokongan dan keyakinan kami terhadap Dato Sri Wong Soon Koh akan tetap teguh,” menurut kenyataan itu.
Oleh Akun Giman




