SIBU, 25 November: Parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) diingatkan supaya mematuhi syarat pemasangan bahan kempen.
Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berkata, perkara itu adalah termasuk mendapatkan permit daripada MPS walaupun bahan berkenaan dipasang di premis parti sendiri.
Menurutnya, tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana parti politik kerana semua pemasangan bahan kempen dalam kawasan bidang kuasa pihak majlis tertakluk kepada keperluan permit.
“Semua ahli majlis diminta memaklumkan syarat berkenaan kepada parti politik masing-masing dan mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan ketika memasang bahan kempen pilihan raya,” ujarnya pada Mesyuarat Penuh Bulanan MPS di sini, hari ini.
Ting berkata, bahan kempen hanya dibenarkan dipasang pada papan iklan atau struktur yang didirikan sendiri oleh pemegang permit, termasuk menggunakan tiang atau penyokong kukuh yang dipasang di lokasi bersesuaian.
“Pemasangan di laluan pejalan kaki berturap atau kaki lima tidak dibenarkan. Selain itu, bahan kempen juga dilarang dipasang di lokasi yang menghalang atau menutupi papan tanda lalu lintas, papan tanda arah dan lampu hiasan, pemasangan yang merentangi.

“Larangan turut meliputi penggunaan paku, gam atau bahan pelekat pada bangunan dan struktur awam sehingga boleh merosakkan atau mencacatkan permukaannya,” tegasnya.
Antara lokasi lain yang tidak dibenarkan ialah tandas awam, tembok penahan, stesen dan perhentian bas, hentian teksi, jambatan, pagar keselamatan pejalan kaki, pembahagi jalan, taman awam, taman permainan dan bulatan.
Bahan kempen juga tidak boleh dipasang pada kemudahan utiliti awam seperti pencawang elektrik dan telekomunikasi, lampu isyarat, lampu jalan, tiang elektrik dan telefon, selain pokok, batas bunga, pagar serta bebendul jalan.
Menurutnya, syarat permit turut melarang pemasangan bahan kempen yang boleh menghalang atau membahayakan keselamatan awam dan lalu lintas, mencemarkan imej atau reputasi seseorang, mengancam keharmonian kaum atau agama serta menjejaskan keselamatan negara.
Beliau berkata, MPS boleh menjalankan siasatan terhadap aduan orang awam sepanjang tempoh kempen.
“Sebarang bahan kempen yang didapati melanggar syarat permit akan diturunkan oleh MPS dengan segala kos penurunan ditanggung oleh pemegang permit.
“Mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Iklan Pilihan Raya) 1990 boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambahnya, semua bahan kempen termasuk struktur pemasangannya wajib diturunkan dalam tempoh 14 hari selepas hari pengundian, iaitu selewat-lewatnya pada 24 Disember ini.
Oleh Akun Giman




