PETRA JAYA, 25 November 2026: Selepas lebih tiga dekad dalam sektor pendidikan, Leonard Libau Anol, 64, kini memasuki fasa baharu dalam perjalanan kerjayanya apabila diberi peluang membawa pengalaman sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat ke pentas politik.
Bekas guru besar itu berkata, beliau berkhidmat dalam sektor pendidikan sebelum bersara pada usia 60 tahun, sekali gus membuka ruang untuk memikul tanggungjawab dalam kepimpinan masyarakat.
Selepas bersara, beliau dilantik sebagai Penghulu Bandar Simanggang selama tiga tahun sebelum diberi kepercayaan sebagai Temenggong Iban Bahagian Sri Aman selama setahun.
Menurutnya, penglibatan dalam politik bukan sesuatu yang baharu kerana beliau sudah lama mengikuti gerak kerja dan perkembangan kawasan bersama wakil rakyat terdahulu, Datuk Francis Harden Hollis.
“Saya sudah lama mengikuti beliau, termasuk melihat perkembangan yang dilaksanakan sebelum akhirnya dilantik sebagai penghulu dan selepas itu mula lebih aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.
Tambah beliau, pengalaman dalam kepimpinan masyarakat memberinya pendedahan mengenai perkembangan politik dan tanggungjawab terhadap penduduk, walaupun pemimpin masyarakat dan ketua kaum (KMKK) mempunyai batasan dalam penglibatan politik.
Mengulas mengenai keputusannya menerima tanggungjawab sebagai calon muka baharu GPS di DUN N.32 Simanggang, Leonard berkata, beliau mendapat sokongan penuh daripada keluarga.
Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang berkhidmat dalam sektor pendidikan dan kepimpinan masyarakat dapat dimanfaatkan dalam tanggungjawab baharu yang bakal dipikul.
Untuk rekod, kerusi DUN N.32 Simanggang sebelum ini disandang Datuk Francis Harden Hollis yang mula dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu pada 1996 di bawah Barisan Nasional (BN).
Beliau mempertahankan kerusi itu pada PRN Sarawak 2021 sebagai calon GPS, sekali gus mencatatkan enam penggal sebagai wakil rakyat sejak 1996.
Pada PRN-13, GPS mengetengahkan Leonard Libau Anol sebagai calon muka baharu bagi kerusi berkenaan.
Oleh Masrin Affirah




