Jenayah komersial di Sarawak meningkat, kerugian cecah RM118.685 juta

Facebook
WhatsApp
AMANAT…Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan November 2026 di IPK Sarawak, hari ini. Foto IPK Sarawak

KUCHING, 25 November: Jenayah komersial di Sarawak mencatatkan peningkatan 14.15 peratus dengan jumlah kerugian mencecah RM118.685 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata, sebanyak 3,946 kes direkodkan dalam tempoh berkenaan berbanding 3,457 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 489 kes.

Menurutnya, antara modus operandi yang sering digunakan sindiket ialah penipuan e-dagang, pelaburan dan pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan palsu, penipuan jual beli kenderaan serta penipuan panggilan telefon.

Katanya, jenayah komersial khususnya penipuan dalam talian memerlukan pendekatan berbeza daripada jenayah konvensional dengan memberi penekanan kepada aspek pencegahan.

“Dalam kebanyakan kes penipuan, polis hanya mengetahui sesuatu jenayah itu berlaku setelah mangsa mengalami kerugian dan tampil membuat laporan polis.

“Pada ketika itu, wang mangsa mungkin telah dipindahkan dan sukar untuk diperoleh kembali,” katanya.

PERHIMPUNAN…Barisan pegawai dan anggota polis sempena Perhimpunan Bulanan November 2026 di IPK Sarawak, hari ini. Foto IPK Sarawak

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi November 2026 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Saifullizan mengarahkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi merangka gerakan kesedaran masyarakat secara besar-besaran, menyeluruh dan berterusan di seluruh Sarawak.

Beliau berkata, masyarakat perlu dididik mengenai taktik sindiket memperdayakan mangsa, cara mengenal pasti cubaan penipuan serta langkah mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

“Bagi saya, mencegah seratus orang daripada menjadi mangsa penipuan adalah lebih baik daripada menyiasat seratus kes setelah mereka kehilangan wang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifullizan memaklumkan jenayah indeks di Sarawak mencatatkan penurunan sebanyak 336 kes atau 8.5 peratus bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini, hasil pengurangan jenayah harta benda.

Bagaimanapun, jenayah kekerasan meningkat sebanyak 35 kes atau tujuh peratus, dengan kes rogol mencatatkan peningkatan 28 peratus daripada 142 kepada 182 kes.

Peningkatan turut direkodkan bagi kes mendatangkan kecederaan daripada 252 kepada 255 kes, samun berkawan tanpa senjata daripada 59 kepada 61 kes dan bunuh daripada 20 kepada 21 kes.

Sementara itu, dalam usaha membanteras jenayah dadah, JSJN Sarawak merekodkan 12,338 tangkapan bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini, meningkat 9.4 peratus berbanding 11,274 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu.

Nilai rampasan dadah dan racun turut meningkat melebihi 210 peratus daripada RM32.8 juta kepada sekitar RM102 juta.

Manakala, tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 meningkat daripada 16 kepada 33 tangkapan.

Oleh Norman B

PRN13: GPS tampil 11 calon muka baharu

PETRA JAYA, 25 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan 11 calon muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak