SIBU, 25 November: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie, antara nama yang mendapat perhatian sebagai calon berpotensi Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Kevin yang juga Ketua Pemuda SUPP Pusat mempunyai pengalaman dalam kepimpinan parti serta khidmat masyarakat, khususnya menerusi penglibatannya dalam menangani keperluan penduduk di kawasan Bawang Assan.
Beliau turut berkhidmat sebagai ahli majlis di Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dan pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam.
Penglibatannya di peringkat akar umbi merangkumi usaha mengenal pasti keperluan infrastruktur, kebajikan penduduk serta pemantauan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Pada Julai lalu, Presiden SUPP Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyatakan hasrat untuk mengemukakan nama Kevin kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi dipertimbangkan sebagai calon GPS di Bawang Assan.
Antara cadangan pembangunan yang pernah diketengahkan Kevin ialah pembinaan jambatan menghubungkan bandar Sibu dengan kawasan Tebingan Barat Bawang Assan.
Bagaimanapun, kedudukan beliau sebagai calon masih tertakluk kepada pengumuman rasmi kepimpinan GPS.
Pengumuman senarai calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 dijadualkan berlangsung hari ini.
Oleh TARANI LANTING




