Lelaki rugi RM1.016 juta akibat penipuan tender kerajaan tidak wujud

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 25 November: Seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1,016,500 selepas menjadi mangsa penipuan tender kerajaan tidak wujud melibatkan pembekalan kabinet, generator dan bateri.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek menyamar sebagai kakitangan Jabatan Premier Sarawak dan menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp dengan menawarkan tender pembekalan barangan berkenaan melalui pesanan kerajaan.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 10.00 pagi pada 3 November lalu ketika mangsa berada di pejabat sebelum menerima panggilan WhatsApp daripada suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan jabatan berkenaan.

Suspek kemudian memperkenalkan mangsa kepada seorang individu lain yang menyamar sebagai pembekal bagi menguruskan pembelian barangan tersebut.

“Mangsa diminta membuat 13 kali pembayaran ke dalam tiga akaun bank sebelum barangan berkenaan dihantar,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan dengan Jabatan Premier Sarawak dan mendapati tender berkenaan sebenarnya tidak wujud.

Alexson berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan curang mendorong penyerahan harta.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan juga denda.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan segera menamatkan panggilan yang mencurigakan, selain tidak memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu yang tidak dikenali.

Orang ramai juga dinasihatkan menghubungi balai polis berhampiran untuk membuat semakan atau laporan.

Mereka boleh menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang mencurigakan melalui portal rasmi Semak Mule PDRM di https://semakmule.rmp.gov.my.

Sebarang aktiviti mencurigakan boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak menerusi WhatsApp di talian 011-62890089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my.

Oleh Connie Chieng