Francis Harden tidak pertahan kerusi DUN Simanggang selepas 30 tahun berkhidmat

Facebook
WhatsApp
DATUK Francis Harden Hollis.

SIMANGGANG, 25 November: Selepas hampir tiga dekad berkhidmat sebagai wakil rakyat, Datuk Francis Harden Hollis mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Simanggang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan khas bertajuk 30 Tahun Bersama Simanggang, Terima Kasih Simanggang yang dikeluarkan hari ini.

Harden berkata, keputusan tersebut dibuat dengan penuh rasa syukur dan penghargaan selepas diberikan kepercayaan oleh rakyat Simanggang sejak 1996 untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, sepanjang tempoh 30 tahun itu, beliau telah berusaha sedaya upaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat serta pembangunan kawasan Simanggang, terutama di luar bandar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas peluang berkhidmat di bawah kepimpinan beliau yang disifatkan sebagai satu penghormatan terbesar sepanjang perjalanan politiknya.

“Saya juga berasa amat bertuah dan berbesar hati kerana berpeluang berkhidmat di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Bagi saya, peluang tersebut merupakan penghormatan terbesar sepanjang perjalanan politik saya,” katanya.

Dalam pada itu, Harden turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, seluruh kepimpinan SUPP serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas sokongan dan peluang yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat.

Mengenai pemilihan calon baharu bagi kerusi DUN N.32 Simanggang pada PRN13, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan pertimbangan Premier Sarawak serta kepimpinan GPS untuk menentukan calon terbaik bagi meneruskan khidmat kepada rakyat.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Simanggang, pemimpin tempatan, tuai rumah, ketua masyarakat, pertubuhan, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan politiknya.

Dalam kenyataan sama, Harden turut memohon maaf sekiranya sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat terdapat kekurangan, kelemahan, kata-kata atau tindakan yang pernah menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Walaupun tidak lagi bertanding pada PRN13, beliau menegaskan bahawa Simanggang akan sentiasa dekat di hatinya dan segala pengalaman, persahabatan serta kenangan bersama masyarakat sepanjang 30 tahun akan terus dihargai.

“Walaupun saya tidak lagi bertanding pada PRN13, Simanggang akan sentiasa dekat di hati saya. Segala pengalaman, persahabatan dan kenangan bersama anda semua akan saya hargai selamanya,” katanya.

Keputusan Harden itu sekali gus membuka ruang kepada kepimpinan GPS untuk menentukan calon baharu bagi mewakili gabungan berkenaan di DUN Simanggang pada PRN13, sekali gus menandakan berakhirnya satu perjalanan khidmat politik beliau yang bermula pada 1996.

Sepanjang enam siri pilihan raya, Harden yang mewakili SUPP-BN berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada 1996 dengan 8,215 undi (86.5 peratus), 2001 sebanyak 8,408 undi (85.4 peratus), 2006 sebanyak 5,144 undi (85.3 peratus), 2011 sebanyak 4,758 undi (67.3 peratus) dan 2016 sebanyak 4,094 undi (50.7 peratus). 

Pada PRN 2021, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi N.32 Simanggang atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan memperoleh 3,954 undi dan majoriti 175 undi. 

Rekod enam kemenangan berturut-turut itu memperlihatkan perjalanan panjang Harden dalam arena politik serta khidmatnya kepada penduduk Simanggang sejak 1996. 

Untuk rekod, Harden pernah dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar pada tahun 2011, Menteri Muda Perumahan (2011), Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti (2017), Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (2022).

Oleh Adi Safarman

Monyet liar berjaya ditangkap

MARUDI, 24 November: Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam minta bantuan menangkap seekor monyet

Berundurnya PKR di Sarawak

KEPUTUSAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak pada 24 November 2026 untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13