Keganasan rumah tangga bermula secara senyap melalui sikap mengongkong – Pakar

Facebook
WhatsApp
Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 24 November: Keganasan rumah tangga tidak lagi boleh dilihat semata-mata menerusi kesan lebam atau kecederaan fizikal yang ketara, sebaliknya banyak kes bermula secara senyap melalui tingkah laku mengongkong dan penderaan emosi yang berlarutan sehingga meragut autonomi mangsa.

Pakar Perunding Kanan, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya Profesor Dr Sajaratulnisah Othman berkata wujud garis halus antara sikap mengambil berat dengan tindakan mendominasi pasangan yang sering disalah erti pada awal perhubungan sebagai tanda kasih sayang.

Beliau berkata pelaku biasanya mengamalkan taktik mengasingkan mangsa daripada sistem sokongan sosial seperti keluarga dan rakan-rakan, selain mengawal kewangan sehingga menyebabkan mangsa terperangkap dalam ketidakseimbangan kuasa serta sukar untuk keluar daripada hubungan toksik tersebut.

“Maknanya, mangsa itu jika ada apa-apa pun dia terpaksa bergantung kepada pelaku sahaja sebab social network dia tu dah tidak ada,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan episod pertama audio siar Listen: Dengar, Fahami, Bertindak terbitan Bernama dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang disiarkan semalam.

Beliau berkata fenomena pengongkongan berkenaan selari dengan dapatan Tinjauan Penduduk yang menunjukkan kira-kira separuh daripada responden mengakui mengalami tingkah laku mengongkong oleh pasangan mereka, selain tujuh peratus wanita berusia 15 hingga 49 tahun mempunyai pengalaman didera. 

Sajaratulnisah berkata penderaan emosi yang berulang seperti penghinaan lisan turut mewujudkan fenomena ikatan trauma dan ketidakberdayaan yang dipelajari, iaitu keadaan apabila mangsa kehilangan keyakinan diri dan mempercayai bahawa mereka tidak mampu berdikari tanpa pelaku, walaupun dalam kalangan golongan profesional.

“Sebab itu, ramai mangsa yang saya jumpa profesional, peguam pun ada tapi tak boleh keluar…dia telah dipinggirkan, kebergantungan semua kasih sayang dan walaupun ada didera, mungkin juga kewangan, hanya bergantung kepada pelaku. Dia rasa macam dia tak boleh keluar,” katanya.

Selain kesan psikologi seperti kebimbangan melampau, kemurungan major dan gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), katanya, mangsa keganasan rumah tangga sering hadir ke fasiliti kesihatan dengan simptom fizikal kronik yang tidak jelas puncanya seperti sakit kepala berpanjangan, sakit perut atau sindrom rengsa usus (IBS).

Beliau menegaskan kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran keganasan rumah tangga juga terdedah kepada impak jangka panjang seperti Adverse Childhood Event (ACE), yang bukan sahaja berisiko menormalisasikan keganasan sebagai cara menyelesaikan konflik, malah mendedahkan mereka kepada risiko penyakit kronik dan kematian pramatang apabila dewasa.

Dalam pada itu, Sajaratulnisah berkata individu yang mengenal pasti diri mereka berdepan ciri-ciri penderaan disarankan agar tidak memuat naik masalah tersebut di media sosial, sebaliknya segera mendapatkan bantuan daripada individu terdekat yang dipercayai atau merujuk kepada pengamal perubatan di fasiliti kesihatan.

Di Malaysia, perlindungan terhadap mangsa keganasan rumah tangga diperuntukkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) yang merangkumi keganasan fizikal, psikologi, emosi, sosial dan kewangan, manakala mangsa turut boleh mendapatkan perlindungan segera melalui Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam.

Audio siar Listen: Dengar, Fahami, Bertindak merupakan sebahagian daripada kempen advokasi hentikan keganasan rumah tangga anjuran Bernama dan KPWKM susulan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencatatkan hampir 6,000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dari Januari hingga September tahun ini. – Bernama