BINTULU: Produk inovasi yang dihasilkan oleh Jabatan Hutan Sarawak jenama ‘Sarabom’ atau Sarawak Bom bakal dijadikan ejen untuk penghijauan negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penghasilan jenama bebola benih itu adalah satu teknologi dalam usaha menanam benih pokok di seluruh negeri.
“Kerajaan Sarawak melalui JHS (Jabatan Hutan Sarawak) membangunkan Projek Seed Ball: Throw and Grow Project ini menjadi bukti jelas kerajaan komited bagi memastikan negeri ini terus kekal hijau serta memiliki kawasan hutan yang terluas di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Le Tour De Restoration (Greening Sarawak Campaign) Peringkat Bahagian Bintulu di Taman Medan Sentral Bintulu, semalam.
Menurutnya, penamaan semula hutan perlu dilakukan khususnya menggunakan teknologi terkini.
Jelas beliau, kerajaan juga akan menarik balik lesen sekiranya pihak syarikat yang mengusahakan kayu tersebut tidak menanam semula kayu berkenaan.
“Projek penanaman semula hutan dengan menggunakan bebola benih yang ditabur dengan dron khas ini amat sesuai dijalankan di kawasan berbukit bukau dan bercerun tinggi bagi menggantikan kaedah konvensional yang lebih perlahan dan sukar dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap usaha JHS membangunkan teknologi penanaman semula hutan ini merupakan satu lagi langkah drastik kerajaan bagi mengekalkan kelestarian hutan di negeri ini.
“Pendekatan inovasi dan teleologi tinggi terkini seperti penyemaian dan penyediaan anak-anak benih pokok perlu dilaksanakan bagi menyokong usaha restorasi yang berterusan di negeri ini,” katanya.
Bagi tujuan itu, beliau menyatakan bahawa projek pembangunan harus bergerak seiring dengan pengekalan alam sekitar dan kekayaan biodiversiti.
“JHS harus berganding bahu dengan agensi atau jabatan berkaitan termasuk masyarakat setempat dalam penghasilan bebola benih (seed ball) dengan menggunakan teknologi dan teknik yang telah diperakui,” katanya.
Dalam perkembangan sama, turut diadakan acara pertukaran Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) kerjasama antara JHS dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang disaksikan oleh Datuk Patinggi Abang Johari.
Perjanjian persefahaman yang dimeterai itu turut menyatakan komitmen kedua-dua pihak dalam menambah baik persekitaran bandar yang mampan dan lestari untuk Bintulu.
Oleh ELLIE EDWARD