KUCHING, 24 November: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) mengumumkan Bendahari Agungnya, Jileng Kion, 70, sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.1 Opar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengumuman itu dibuat menerusi hebahan media parti berkenaan hari ini, yang turut menyatakan Jileng akan menjadi suara tunggal ASPIRASI bagi kawasan masyarakat Bidayuh.
Jileng merupakan pesara guru yang pernah memegang jawatan terakhir sebagai Penolong Kanan Akademik selain berkhidmat sebagai Kapten dalam Askar Wataniah Malaysia.
Beliau juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, khususnya berkaitan adat asal masyarakat Bidayuh menerusi tanggungjawabnya sebagai Setiausaha Persatuan Adat Asal Bidayuh Sarawak.
Menurut kenyataan itu, Jileng turut berusaha memastikan Gawai Nyobang Baruk Dr Patau terus diadakan setiap tahun bagi mengekalkan amalan adat berkenaan.
Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Koperasi Dorod Mas Bau Berhad dalam usaha membantu kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden ASPIRASI, Buln Ribos, mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada PRN kali ini.
ASPIRASI turut menegaskan pendiriannya untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti, sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang.
“Parti ASPIRASI akan berfungsi dengan lebih berkesan sebagai mata dan telinga rakyat tanpa kongkongan dan perjanjian dengan mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Menurut parti berkenaan, pendirian tersebut membolehkan ASPIRASI memainkan peranan sebagai pihak yang memberi keseimbangan dalam pemerintahan, khususnya dalam merangka dasar kerajaan dan ekonomi yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Buln turut mengalu-alukan penyertaan individu daripada pelbagai komuniti untuk menjadikan ASPIRASI sebagai wadah politik dan perjuangan dalam membina Sarawak yang lebih makmur.
Beliau turut mengingatkan pengundi Opar dan seluruh rakyat Sarawak yang layak mengundi supaya memilih wakil rakyat yang mampu melaksanakan amanah dengan penuh integriti.
“Pilihlah wakil untuk lima tahun mendatang yang dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti, baik sebagai pemerintah mahupun pembangkang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan calon yang hanya memainkan emosi dan membangkitkan kemarahan sehingga menjejaskan pertimbangan ketika membuat pilihan.
Oleh Shikin Mahmud




