BINTULU: Kerajaan berhasrat menjadikan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sebagai hab penyelidikan perhutanan di Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan khas bagi menyediakan penyelidikan tersebut nanti.
“Saya difahamkan Jabatan Hutan Sarawak dan UPMKB telah mengadakan perbincangan mengenai kerjasama ini,” katanya pada Majlis Perasmian Program Le Tour De Restoration (Greening Sarawak’s Campaign) Peringkat Bahagian Bintulu, di sini, semalam.
Justeru, beliau berharap semua pihak harus berusaha mencari pendekatan terbaik terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.
“Elemen ini merupakan kunci kejayaan kepada perlaksanaan program ini nanti,” ujarnya.
Sementara itu, usaha Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang melibatkan komuniti setempat dalam pelaksanaan Program Tree For Life khususnya dalam aktiviti memperkayakan kawasan pertanian pindah, Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan sebagainya, haruslah dipertingkatkan dan diteladani oleh agensi atau syarikat swasta yang berkenaan.
“Sesungguhnya, komuniti setempat mempunyai pengetahuan tradisi dalam pengurusan sumber restorasi dan pemeliharaan hutan yang boleh dipelajari atau dikaji bersama ,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan bahawa pengekalan kekayaan biodiversiti yang terdapat di negeri seharusnya berasaskan teknologi digital.
“Penanaman bebola benih yang digabungkan dengan penggunaan dron akan menjadikan penyebaran biji benih lebih menyeluruh, menjimatkan masa dan tenaga kerja,” ujarnya.
Justeru, penyelidikan dalam restorasi hutan sama ada daripada JHS atau institusi lain berkaitan mengenai site species matching perlu dipergiatkan bagi memastikan inisiatif tersebut berjaya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talip Zulpilip, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju, Dato Majang Renggi, Residen Bahagian Bintulu, Datu Jack Aman Luat dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Yakup Kari.
Oleh ELLIE EDWARD