KUCHING, 24 November: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pengumuman manifesto Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebagai urusan parti itu sendiri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
“Suka hati mereka, kami tak sibuk,” katanya ringkas ketika diminta mengulas manifesto PBDS selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Pesat Membangun 2026 (SIAC2026) di sini, hari ini.
Manifesto yang dilancarkan Presiden PBDS, John Brian Anthony hari ini menggariskan 10 agenda utama, antaranya cadangan mengehadkan tempoh jawatan Premier Sarawak kepada maksimum dua penggal, tertakluk kepada pindaan Perlembagaan, selain memperuntukkan RM150 juta setahun bagi pengukuran dan pendaftaran tanah Bumiputera serta Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Antara tawaran lain termasuk pengurangan tarif elektrik sebanyak 30 peratus bagi isi rumah luar bandar yang telah menerima bekalan elektrik, penyediaan 20,000 peluang latihan dan pekerjaan berbayar setiap tahun serta peruntukan RM10 bilion dalam tempoh lima tahun bagi pembangunan kemudahan luar bandar.
PBDS turut mengemukakan cadangan penubuhan Suruhanjaya Tanah Anak Negeri menerusi rang undang-undang khusus dalam tempoh 12 bulan serta pelaksanaan cadangan yang terkandung dalam Buku Biru Sidang Kemuncak Tanah PBDS.
Dalam PRN kali ini, PBDS mengumumkan akan meletakkan 26 calon dan bertanding sebagai parti secara bersendirian, namun tidak menolak kemungkinan kerjasama politik selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan gabungan bersama parti yang mempunyai persamaan prinsip dan matlamat.
Sementara itu, Abang Johari turut menafikan GPS akan mengumumkan manifesto serentak dengan pengumuman calon esok, katanya manifesto GPS bakal diumumkan pada tarikh lain.
Oleh Shahrul Qaizat



