China perkenal kru Shenzhou-24, termasuk angkasawan Pakistan

Facebook
WhatsApp
China memperkenalkan tiga angkasawan yang bakal menyertai misi Shenzhou-24, termasuk Mohammed Zeeshan Ali dari Pakistan yang akan mencipta sejarah sebagai angkasawan asing pertama mengunjungi stesen angkasa Tiangong. Foto CMG

JIUQUAN, 24 November: China pada Selasa memperkenalkan tiga angkasawan yang akan menyertai misi penerbangan angkasa lepas berkru Shenzhou-24, termasuk seorang angkasawan Pakistan yang bakal menjadi angkasawan asing pertama mengunjungi stesen angkasa Tiangong.

Menurut Pejabat Kejuruteraan Angkasa Lepas Berkru China, kru berkenaan terdiri daripada Tang Hongbo selaku komander dan juruterbang kapal angkasa, Wu Yi sebagai jurutera penerbangan serta angkasawan Pakistan Mohammed Zeeshan Ali sebagai pakar muatan.

Pemilihan kru itu diputuskan oleh Markas Misi Penerbangan bagi Fasa Pembangunan dan Penggunaan Stesen Angkasa China selepas melalui proses penilaian dan kajian.

Misi itu mencatat sejarah sebagai penerbangan angkasa lepas berkru pertama China yang turut disertai angkasawan asing.

Tang, yang sebelum ini menyertai misi Shenzhou-12 dan Shenzhou-17, bakal menjadi angkasawan pertama mengunjungi Tiangong sebanyak tiga kali.

Sementara itu, Ali merupakan antara angkasawan asing kumpulan pertama yang dipilih menyertai program angkasa lepas China menerusi perjanjian kerjasama antara China dengan Pakistan.

Mengikut perancangan, Ali akan berada di Tiangong untuk tempoh yang singkat sebelum kembali ke Bumi menaiki kapal angkasa Shenzhou-23.

Dalam perkembangan berkaitan, angkasawan Zhu Yangzhu yang merupakan anggota kru Shenzhou-23 akan meneruskan tugasnya di orbit bagi menyertai pelaksanaan misi Shenzhou-24.

Beliau dijangka menjadi angkasawan China pertama yang berada di orbit selama setahun, merentasi empat musim iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk.

Ketiga-tiga kru Shenzhou-24 itu diperkenalkan kepada wakil media tempatan dan antarabangsa di Balai Wentian, Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan pada Selasa.- Bernama-CMG